DUNGUN – Seorang pemandu lori ditahan polis hari ini kerana disyaki membakar bendera sebuah parti politik di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan polis pada pukul 1.30 pagi.
“Sebelum ini, kita menerima laporan berkaitan bendera sebuah parti politik dibakar suspek di tepi jalan di Kampung Pasir Raja.
“Klip video perbuatan lelaki itu tular di media sosial. Pengadu mengesyaki suspek mungkin kurang siuman atau berada di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu sebuah klip video tersebut berdurasi 1.07 minit yang memaparkan suspek membakar bendera sebuah parti politik menggunakan pemetik api tular di aplikasi Tik Tok.
Baharudin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek adalah individu yang sama pernah membakar Jalur Gemilang di Kampung Kuala Jengai di sini sebelum ini.
“Sebelum ini, kita menerima aduan berkaitan kes membakar Jalur Gemilang sebelum memuat naik video perbuatannya di aplikasi Tik Tok,” katanya. – KOSMO! ONLINE














