fbpx

Guru dapat peluang kedua, kes rogol dibicara semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang guru sekolah rendah memperoleh peluang kedua selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan kesnya merogol seorang murid dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen Sepang, dekat sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Julia Ibrahim memutuskan demikian selepas rayuan semakan semula terhadap sabitan bersalah oleh perayu, Mohd. Ziqrul Fhahmie Deraman 32, yang dihukum 15 tahun penjara dan tujuh sebatan sebelum ini.

Mohd. Ziqrul juga dijatuhkan penjara lima tahun atas tuduhan mencabul dalam keputusan diberikan Mahkamah Sesyen Sepang pada 18 November 2020.

Julia dalam penghakimannya berkata, mendapati rekod rayuan terutamanya nota-nota keterangan serta exhibit adalah tidak lengkap dan ini akan memprejudiskan perayu di dalam pendengaran rayuannya.

“Dengan itu, demi keadilan kedua-dua pihak, kes ini diarah dibicarakan semula,” katanya.

Mahkamah juga menetapkan jaminan RM15,000 dikekalkan kepada perayu.

Terdahulu pada prosiding itu, perayu diwakili Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris semasa hujahan mereka telah membangkitkan bahawa kecacatan di dalam rekod rayuan.

“Ini memprejudiskan perayu yang mana rayuan perayu akan diprejudiskan jika perayu gagal merujuk kepada keterangan-keterangan yang sepatutnya yang digunakan oleh hakim bicara dalam mensabitkan perayu ke atas pertuduhan-pertuduhan,” jelasnya.

Sementara, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin mengesahkan bahawa rekod rayuan adalah tidak teratur dan boleh memprejudiskan pihak-pihak.

“Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon agar kes ini dibicarakan semula di Mahkamah Sesyen Sepang,” ujarnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ziqrul didakwa merogol seorang murid berusia 12 tahun pada 15 Februari 2015 di sekitar Kuala Langat.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan

Sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Sepang pada 16 November ini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI