fbpx
Orang ramai menunggu bas untuk ke tempat kerja berikutan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang dihentikan sementara di Stesen LRT Pasar Seni, Kuala Lumpur semalam. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

Lembah Klang huru-hara angkara LRT rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian besar daripada 200,000 penum­pang tegar Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya marah, geram dan meluahkan rasa tidak puas hati apabila operasi pengangkutan awam utama itu tergendala hingga membuatkan rutin harian mereka terjejas teruk.

Mereka mendakwa kegagalan sistem itu juga telah meningkatkan lagi kos harian selain menjejaskan emosi mereka yang tinggal jauh dari tempat kerja.

Ada yang mengambil masa berjam-jam untuk pulang ke rumah apabila terpaksa berjalan kaki selepas dimaklumkan operasi LRT tergendala.

Seorang pekerja swasta di Bangsar, Nurul Abdul Razak, 26, berkata, dia terkejut apabila mendapati operasi tergendala pagi semalam kerana tidak sempat menyemak media sosial selepas pulang ke rumah kelmarin.

“Sebaik tiba di terminal KL Sentral, saya terkejut apabila mendapat tahu hal itu. Penat sangat apabila terpaksa berkejar-kejar dan tertekan kerana ia melibatkan emosi dan rohani.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan meningkatkan lagi kos apabila terpaksa mencari alternatif lain untuk pergi dan balik kerja. Sepatutnya pihak pengurusan perlu ada pelan alternatif,” kata­nya kepada Kosmo!.

Sebahagian daripada ribuan pengguna LRT terpaksa menunggu lama untuk menaiki bas perantara selepas operasi LRT laluan Kelana Jaya tergendala selama seminggu bermula semalam.

Menurut Nurul, dia terpaksa menaiki e-hailing untuk ke tempat kerja yang menelan belanja RM27 sehala.

“Berapa yang saya akan tanggung untuk tujuh hari sepanjang ketiadaan servis LRT?” soalnya.

Seorang lagi pengguna, Puteri Hazryna Roslan, 24, berkata, LRT penting buat warga kota lebih-lebih lagi ketika zaman kos sara hidup tinggi ketika ini.

“Semua orang berdepan de­ngan kegawatan pendapatan dan tersepit dalam ruang ekonomi yang tenat. Saya tiada pilihan, jika naik bas, lambat dan kalau pandu kereta pula akan terkandas dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Pekerja bank, Nasrul Afzal Jamil, 24, berkata, penangguhan operasi LRT telah menjejaskan rutin harian orang ramai terma­suk pasangan yang berkahwin dan mempunyai anak.

“Saya terpaksa membantu kakak saya mengambil anak­nya di rumah pengasuh kerana kakak saya terperangkap dalam LRT Abdullah Hukum yang tidak bergerak. Tempoh masa tambahan untuk letak anak di taska bukan percuma.

“Nak tak nak kena juga pesan e-hailing yang mengenakan tambang tinggi kerana waktu puncak. Hendak naik bas, lambat dan penuh dengan orang hingga terpaksa berebut,” katanya.

Peta menunjukkan laluan stesen LRT bagi Kelana Jaya yang ditutup selama seminggu akibat kegagalan sistem.

Seorang pelajar, Raja Muhammad Danish Mishal, 19, dia terpaksa berhimpit-himpit ketika menaiki bas disediakan Rapid KL untuk pulang ke rumahnya.

“Biasanya dari KL Sentral ke Lembah Subang ambil masa 40 minit tetapi hari ini (semalam) makan masa dua jam. Dari situ, saya naik e-hailing dengan tambang RM14 dan ia sangat mahal berbanding LRT,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pegawai Rapid KL berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dihadapi pengguna dan membe­ritahu pengurusan ada menyediakan beberapa inisiatif seperti bas perantara.

“Setakat ini, kami menyediakan bas perantara dan membuat tugas-tugas khas seperti me­nerangkan nombor bas yang perlu dinaiki oleh penumpang untuk ke destinasi.

“Selain itu, kami juga memastikan setiap bas akan mematuhi ketepatan masa perjalanan yang ditetapkan,” ujarnya.

Setakat ini, gangguan operasi LRT hanya melibatkan laluan Kelana Jaya, manakala laluan Ampang dan Seri Petaling masih beroperasi, namun ditamatkan lebih awal iaitu pada pukul 11 malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN