fbpx

Penyokong parti berlagak ‘marsyal’ tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video sekumpulan penunggang motosikal yang bertindak sebagai 'marsyal' tular di media sosial.

SEREMBAN – Polis sedang mengesan sekumpulan penunggang motosikal membawa bendera sebuah parti yang bertindak sebagai ‘marsyal’ dengan menahan kenderaan lain di lampu isyarat Taman Desa Dahlia, Senawang di sini kelmarin.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, pada pukul 6.47 petang Isnin lalu telah tular satu rakaman berdurasi 33 saat berkaitan sekumpulan penunggang motosikal yang menghalang dan mengganggu kelancaran lalu lintas serta pengguna jalan raya lain yang melalui jalan terbabit.

“Dalam video itu memaparkan aksi sekumpulan lima penunggang motosikal yang membawa bendera parti politik menahan kenderaan di simpang empat lampu isyarat di Taman Desa Dahlia, Senawang.

“Tindakan itu bagi memberikan laluan kepada lapan kenderaan yang dipercayai daripada parti politik yang sama, kejadian itu telah mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, sehubungan itu pihak polis sedang mengesan kesemua pemandu dan penunggang yang terlibat dalam rakaman video tular tersebut untuk membantu siasatan.

“Tindakan mereka sebagai marsyal dengan menahan dan mengawal kenderaan yang melalui lampu isyarat itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(1) Akta Polis 1967.

“Tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967, jika seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, individu yang terlibat boleh juga dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menasihatkan semua parti politik supaya tidak melanggar undang-undang jalan raya dalam tempoh berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta hendaklah sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang sedia ada. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI