fbpx

Tanah liat taruhan Azyma tembusi pasaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zaeim (tengah) menunjukkan produk keluaran syarikat yang mencatat jualan menggalakkan sejak tahun 2020.

PUTRAJAYA – Bukan mudah bagi seorang pengurusan kanan di sebuah syarikat korporat melepaskan jawatan yang dipegang selama 12 tahun semata-mata untuk mengejar misi dan im­piannya dalam dunia perniagaan pula.

erusi empuk Naib Presiden di sebuah syarikat penyedia perkhidmatan takaful yang ter­kenal di ibu pejabat Kuala Lumpur itu terpaksa ditinggalkan oleh Ahmad Zaiem Ismail untuk terlibat secara serius dalam bisnes yang diminatinya sejak belajar di universiti lagi.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu pada asalnya bercadang untuk bekerja selama tiga tahun dalam syarikat itu sahaja, tetapi mungkin kerana komitmen dan kesungguhannya dalam bidang tersebut, beliau telah dinaikkan pangkat secara berpe­ringkat daripada penolong pe­ngurus hinggalah kepada jawatan tertinggi sebagai Naib Presiden.

Dalam hati, hanya doa dan semangat yang kukuh untuk kembali semula ke landasan perniagaan kerana ini adalah cita-cita utama untuk me­realisasikan impian agar satu hari nanti berjaya dalam bisnes seterusnya dapat membela nasib masyarakat khususnya golongan bumiputera.

“Ketika itu saya berumur 40 tahun dan pada masa itu, saya berada di puncak tertinggi dalam kerjaya dan nekad menghantar surat perletakan jawatan semata-mata untuk menggapai impian tersebut.

“Namun, lima tahun sebelum itu, saya sudah membuat pe­rancangan rapi khususnya dalam memenuhi komitmen bulanan sekiranya tidak bekerja makan gaji lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk terbaharu syarikatnya, Azyma Group Sdn. Bhd. (Azyma) iaitu Strength Shampoo di sebuah pusat membeli-belah di sini baru-baru ini.

Turut hadir pengasas bersama syarikat, Mohd. Apandi Hussian.

Produk syampu Azyma yang bertindak dua dalam satu bagi membantu memberi solusi permasalahan rambut dan kulit kepala boleh diibaratkan sebagai membuat spa rambut di rumah.

Tanpa bahan kimia terlarang, pengguna tidak perlu memakai perapi rambut kerana bahannya sudah lengkap untuk meningkatkan tahap kesihatan rambut.

Selain itu, Azyma turut me­lancarkan produk pencuci muka yang dikenali sebagai Clay Soap-Free Puri­fying Gel yang mana ia bersesuaian untuk semua jenis kulit.

Mengulas lanjut me­ngenai perjalanan da­lam dunia perniagaan, langkah kanan Ahmad Zaiem pada fasa awal, mula menjadi selepas mendapat tawaran daripada sebuah pemilik syarikat untuk mengambil alih perniagaan menjual produk penjagaan kesihatan ber­asaskan tanah liat pada tahun 2016 dengan bermodalkan RM100,000.

Graduan kelulusan undang-undang dan pernah berkhidmat di sebuah firma guaman selama setahun itu pernah menjadi pengedar tunggal bagi produk tanah liat sebelum itu.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut, produk itu mendapat sambutan yang baik di pasaran tersebut, tetapi tiada konsis­tensi kualiti dan sukar memenuhi tempahan pasaran menyebabkannya gagal, lantas pemiliknya menawarkan bisnes tersebut kepada Ahmad Zaiem.

Berbekalkan formulasi diberikan, beliau berusaha gigih membangunkan empayarnya sendiri bermula dengan mendapatkan kilang bertaraf tinggi untuk menghasilkan produk keluaran Azyma terma­suk pembungkusannya sekali.

“Kami mengguna pakai kemudahan makmal untuk menjalankan kajian produk sulung dan akhirnya pada tahun 2019, gel mandian spa tanah liat berkualiti tinggi yang dinamakan sebagai Azymacare Bodywash mula dilancarkan,” jelasnya.

Tambah beliau, bahan mentah utama yang digunakan adalah tanah liat yang diperoleh dari Perak, iaitu sejenis tanah liat berwarna putih khusus digunakan dalam pembuatan kosmetik dan penjagaan kecantikan.

Tanah liat Kaolin atau tanah liat China dan lebih dikenali sebagai tanah liat kosmetik bersifat ringan, terhasil secara semulajadi di dalam tanah dan ia boleh di dapati di kawasan yang bercuaca panas dan lembap.

Komponen khas seperti aluminium oksida dan silika banyak menyumbang kepada kesan luar biasa untuk kulit.

Ahmad Zaiem menerangkan, tahun pertama jualan produk sulung itu hanyalah sekitar RM7,000 dan lebih membi­ngungkan dirinya apabila tahun 2020, pandemik Covid-19 menjejaskan seluruh sistem ekonomi negara.

“Jangkaan saya meleset, impak pandemik dan segala pelaksa­naan fasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi rezeki berganda kepada kami melalui perniagaan online yang efisien yang kami bangunkan.

“Perolehan jualan melonjak kepada RM200,000 dan momentumnya berterusan sehingga tahun lalu mencecah kepada kira-kira RM500,000,” jelasnya.

Semua ini dicapai melalui sokongan daripada semua pihak dalam syarikat serta komitmen pengedarnya yang kini telah bertambah kepada hampir 120 orang di seluruh negara.

Lebih menarik, produk Azyma kini telah dipasarkan di rang­kaian farmasi dengan memasuki kira-kira 300 kedai khususnya di Lembah Klang dan juga di Kota Bharu.

Testimoni positif daripada pelanggan terhadap Azymacare Bodywash memainkan peranan yang penting kerana ia meningkatkan keyakinan pelanggan sedia ada, malah mampu menarik minat pengguna baharu.

Malah, insiatif syarikat me­n­yertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) juga menunjukkan perkembangan baik apabila telah dilamar peniaga dari Perancis dan Dubai untuk percubaan awal menembusi pasaran luar negara.

Menjadi harapan Ahmad Zaiem untuk berjaya membawa jenama dan kualiti produk tempatan ini di pasaran global.

“Selalunya, apabila produk sudah berjaya menembusi pasaran luar negara serta menguasai pasaran di Asia Tenggara, maka dengan mudahnya masyarakat akan mempercayai dan memilih produk Azyma,” terang beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI