fbpx

PRU15: Isu PDM Jasin ditutup kerana tidak puas hati selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASAN RAHMAN.

JASIN – Isu penutupan sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Jasin di sini sejak tiga hari lalu telah diselesaikan dan dibuka semula bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, Parit Perawas, Sebatu, Tehel dan Kesang adalah antara sembilan PDM yang ditutup sejak Isnin lalu.

Menurutnya, penutupan PDM terbabit berlaku apabila nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad diumumkan sebagai bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Jasin.

“Memang benar ada sembilan PDM dan beberapa bilik gerakan ditutup selama tiga hari sejak Isnin lalu.

“Namun semua masalah ini telah berjaya diselesaikan dengan cara baik dan akhirnya sembilan daripada 38 PDM di Jasin telah dibuka semula serta beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Bemban di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kini tumpuan jentera parti itu adalah ke arah memastikan BN diberikan mandat oleh rakyat untuk mengekalkan kerusi tradisi milik parti itu.

“Kita yakin rakyat di Jasin akan terus menyokong BN kerana parti ini sudah terbukti sepanjang tempoh 60 tahun memerintah telah membawa banyak pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI