fbpx
Natcha memiliki rambut sepanjang 1.17 meter. – Daily News

Wanita 10 tahun tidak potong rambut kerana takut jadi mangsa ‘roh jahat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Trang, Thailand mengaku bahawa dia tidak pernah memotong rambutnya selama lebih 10 tahun kerana bimbang menjadi mangsa roh jahat, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Natcha Thong-iab, 50, memiliki rambut sepanjang 1.17 meter. 

Penduduk setempat turut mempercayai rambut wanita berkenaan adalah istimewa dan boleh mencegah nasib malang serta menjauhkan orang ramai daripada bahaya.

Selepas memotong rambutnya 10 tahun lalu, Natcha jatuh sakit selama tujuh hari dan semenjak itu, dia membuat keputusan untuk tidak lagi memotong rambutnya.

Selain itu, Natcha turut terkejut apabila mendapati rambutnya saling melekat dan menjadi kusut selepas bangun daripada tidur pada suatu hari.

Dia pernah meminta seseorang memotong rambut itu dan membaiki keadaan kusut tersebut, namun Natcha kemudian jatuh sakit selama beberapa hari.

Menurut wanita berkenaan, pada satu malam, dia bermimpi didatangi seorang lelaki yang memberitahu bahawa rambutnya adalah istimewa. Lelaki berkenaan turut menyuruh Natcha menembak rambutnya menggunakan pistol dan memberi jaminan peluru tersebut tidak akan menembusi rambutnya.

Keesokan paginya, Natcha melakukan apa yang disuruh dan dia terkejut apabila mendapati peluru pistol sememangnya tidak dapat menembusi rambutnya. Ia membuatkan wanita itu semakin percaya mengenai ‘keistimewaan’ rambutnya.

Sementara itu, seorang pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains Universiti Chulalongkorn, Jatesada Denduangboriphan berkata, Natcha dan mana-mana wanita yang memiliki rambut seperti itu sepatutnya berjumpa doktor.

Menurutnya, keadaan rambut Natcha mungkin berlaku akibat bahan kimia yang terkandung dalam syampu, kekurangan lembapan atau kelainan pada bahan salutan rambut. – Agensi 

 

POPULAR