fbpx

Sempat ‘berjoli’ RM180,000 sebelum dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheng San menunjukkan barangan rampasan ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Tiga sekeluarga termasuk dua beradik warga tempatan dipercayai sempat membelanjakan lebih separuh daripada wang berjumlah RM180,000 yang dicuri dari sebuah gudang alat permainan di sini kira-kira tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, usaha mereka untuk memecah masuk ke gudang yang sama buat kali kedua bulan lalu mengundang padah apabila kegiatan itu berjaya dikesan pemilik gudang tersebut.

Kejadian berlaku apabila pemilik gudang berkenaan yang juga pengadu dikatakan gagal mengakses rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di situ menerusi telefon pintar sebelum terus ke gudang berkenaan untuk memeriksa apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, selepas mengesyaki pejabat di gudang tersebut dipecah masuk buat kali kedua, satu laporan polis dibuat kira-kira pukul 12.22 pagi pada 24 Oktober lalu.

Menurutnya, susulan laporan itu polis berjaya menahan dua daripada suspek berkenaan iaitu dua beradik yang masing-masing berusia 30 dan 25 tahun di sebuah rumah beberapa hari kemudian dan merampas barangan termasuk pakaian, pedang samurai, beg silang, telefon bimbit, pemutar skru dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

Beritahu beliau, seorang lagi suspek iaitu isteri kepada suspek utama yang kini sedang mengandung lapan bulan turut ditahan tidak lama selepas itu bagi membantu siasatan.

“Polis juga berjaya merampas beberapa barang yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diperoleh hasil daripada pecah gudang itu termasuk sebuah kereta jenis Honda Civic, dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Y15ZR dan Honda Vario, empat buah telefon bimbit, satu set bilik tidur dan dua buah mesin basuh.

“Turut dirampas adalah tiga bentuk cincin, dua utas rantai tangan, seutas jam tangan pintar serta 12 helai resit pembelian serta resit gadaian emas,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng San berkata, suspek utama iaitu si abang mempunyai 11 rekod jenayah berkaitan pecah rumah dan pecah masuk beberapa bangunan lain manakala adiknya pula memiliki lima rekod yang sama termasuk berkaitan dadah.

“Polis percaya, penangkapan dua beradik ini termasuk isteri suspek utama berjaya menyelesaikan dua kes aduan membabitkan kejadian pecah gudang dan kedai di sekitar Seberang Perai Tengah pada Julai dan Oktober lalu.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI