fbpx

Musim tengkujuh dijangka lebih awal hingga Mac – MetMalaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh akan bermula lebih awal daripada dijangka iaitu pada 7 November 2022 dan berterusan sehingga Mac 2023.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan berpotensi berlaku sepanjang tempoh itu.

“Seperti musim-musim lalu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar, risiko kejadian banjir boleh meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Helmi berkata, kejadian air pasang besar dijangka berlaku dari 6 hingga 11 serta 22 hingga 27 November diikuti 7 hingga 12 serta 22 hingga 26 Disember 2022 sebelum berlarutan dari 6 hingga 10 dan 21 hingga 25 Januari 2023.

Jelas beliau, semasa MTL, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI