fbpx

Seorang rakyat Malaysia cedera dalam insiden Itaewon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suasana sesak yang berlaku di Itaewon ketika perayaan Holloween Sabtu lalu.

PUTRAJAYA – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden rempuhan di Itaewon, Seoul, Korea Selatan yang mengorbankan sebanyak 149 nyawa Sabtu lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, pada masa sama juga, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam insiden berkenaan.

“Kementerian Luar mengesahkan bahawa terdapat seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Mangsa telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Joogang, Seoul dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini tadi.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul telah menghubungi beliau bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Pihak Kedutaan juga telah menghulurkan bantuan konsular termasuk memudahcara urusan perjalanan kedua-dua ibu dan bapa beliau ke Republik Korea.

“Kedutaan Besar Malaysia di Seoul akan terus memantau insiden tersebut dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini dari semasa ke semasa,”’ujarnya.

Saifuddin berkata, warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan dan memerlukan bantuan konsular adalah dinasihatkan untuk berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Seoul.

“Kedutaan Besar Malaysia di Seoul boleh dihubungi menerusi talian 00(822) 795 9203 atau 2077-8600 atau +82 010 8974 8699 (kecemasan konsular selepas pukul 5 petang/cuti umum) serta emel di [email protected],” katanya.

Sekurang-kurangnya 149 orang terbunuh manakala 76 yang lain cedera dalam insiden rempuhan di daerah Itaewon, Seoul, melibatkan pengunjung yang menghadiri pesta Halloween.

Insiden itu berlaku pada Sabtu malam di kawasan berhampiran Hotel Hamilton di pusat hiburan malam yang terkenal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI