fbpx

PRU15: Calon muda BN cuba rampas kembali Pasir Gudang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azleen

PASIR GUDANG – Barisan Nasional (BN) meletakkan muka baharu bagi mengisi calon kerusi Parlimen Pasir Gudang, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang dicalonkan menerajui Parlimen Kota Tinggi.

Noor Azleen Ambros, 37, akui bukan tugas mudah apabila diberi harapan menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Noor Azleen yang juga merupakan Exco Pemuda Pusat bagaimanapun memberitahu, dia komited untuk memberi yang terbaik dalam memastikan parlimen itu kembali kepada BN.

“Saya terharu dan bangga apabila diberi amanah ini, namun dalam masa sama saya tahu ini bukan satu misi yang mudah kerana PRU kali ini BN bukan mempertahan Pasir Gudang, tetapi mahu menebus semula kekalahan dalam PRU14 lalu.

“Menggantikan Naib Presiden UMNO di kerusi ini, itu juga satu amanah yang saya komited untuk galas bagi meneruskan perkhidmatan cemerlang yang telah beliau laksanakan sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Noor Azleen akan bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang, manakala Mohamed Khaled akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi dalam PRU15 pada 19 November ini.

Noor Azleen yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang turut memberitahu, selaku generasi muda pihaknya mahu memastikan taraf hidup penduduk setempat lebih sejahtera sesuai dengan pengiktirafan Pasir Gudang sebagai sebuah Majlis Bandaraya baru-baru ini.

Pada PRU14, Hassan Abdul Karim daripada PKR menang dengan majoriti 24,726 undi di Parlimen Pasir Gudang menewaskan Mohamed Khaled (BN) yang ketika itu merupakan Menteri Besar Johor.

Pasir Gudang mempunyai 198,557 pengundi berdaftar, iaitu Parlimen ketiga tertinggi di Johor dengan peratusan penduduk terdiri daripada Melayu dan Bumiputera sebanyak 48 peratus, Cina (36 peratus) dan India (10 peratus). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI