fbpx

Mahkamah: Syarikat produksi A.Aida terpaksa tanggung kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amelia

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat produksi memberitahu Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia Henderson.

Fazeyla Ahmad, 42, yang merupakan Pengurus Produksi A.Aida Sdn. Bhd. berkata, antara kos-kos kerugian itu melibatkan bayaran pendahuluan terhadap Amelia, penulis skrip, penolong pengarah, suntingan, krew, pengangkutan dan peralatan penggambaran.

“Akibat pelanggaran perjanjian daripada defendan pertama (Amelia), kami telah mengalami kerugian selain terpaksa membuat penjadualan semula bagi pengambaran yang siap sedia untuk dimulakan pada 16 Jun 2022,” kata saksi plaintif ketiga itu ketika membaca pernyataan saksinya di sini hari ini.

Dalam pada itu, saksi tersebut turut memberitahu ekoran tindakan Amelia itu, syarikat produksi juga terpaksa mencari pengganti bagi watak utama drama terbabit disaat -saat akhir.

Sementara itu berhubung dengan siaran langsung dalam Instagram milik pelakon itu saksi itu berkata tindakan Amelia itu telah menjejaskan imej dan reputasi syarikat produksi milik A.Aida.

“Video yang mengandungi kenyataan-kenyataan tersebut telah tersebar meluas di dalam media sosial telah menjejaskan imej dan reputasi plaintif (syarikat produksi) secara teruk sebagai sebuah produksi drama atau filem tersohor di Malaysia,” kata saksi itu lagi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung lagi petang ini.

Semalam kes saman melibatkan penerbit sensasi, A. Aida bersama seorang lagi pelakon, Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Sebelum ini media melaporkan, Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A. Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI