fbpx

Isu guru KAFA bakal diperhalusi selepas kerajaan dibentuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Hakimah (kiri) selepas majlis perasmian program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2022, di Bangi hari ini.

BANGI – Isu berkenaan nasib dan masa depan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) bakal diteliti melalui satu mesyuarat khusus tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, maklumat lanjut mengenai perkara itu juga sedang dikumpul sebelum perbincangan lanjut diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada maklumkan bahawa kita perlu teliti perkara ni tambahan ia melibatkan melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari segi penjawatan.

“Jadi saya sedang kumpul maklumat dan Insyaallah kita akan adakan perbincangan khusus selepas kerajaan dibentuk,” katanya kepada media.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Ismail Sabri telah berbincang dengan KSN, Mohd. Zuki, berkenaan isu yang melibatkan kebajikan guru-guru agama itu berikutan guru KAFA berada di bawah pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika disoal media kemungkinan ada berita baik bakal direncanakan untuk golongan itu Mohd. Zuki berkata, ia turut bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

“Namun begitu kerajaan tidak pernah lupakan kebajikan mereka malah bangga dengan mereka sebagai penjawat awam dan sumbangan golongan ini sebagai penjawat awam,” katanya selepas merasmikan program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2022, di sini, hari ini.

Program yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff itu disertai kira-kira 400 orang pegawai tadbir agama seluruh negara manakala 500 orang secara maya.

Hakimah berkata, program lima hari bermula semalam adalah julung kali diadakan melibatkan penyertaan seluruh agensi agama Islam di peringkat Persekutuan selain agensi-agensi agama di peringkat negeri.

“Konvensyen pada hari ini akan menyentuh antaranya kepentingan menyediakan minda baharu sebagai persediaan strategi masa depan.

“Cabaran masa depan dalam tadbir urus hal ehwal Islam dengan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan menerusi usaha pengurusan data dan pendigitalan juga akan dibincangkan,” katanya ketika berucap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI