fbpx
ALYPH

Swipe cara Alyph hapus sentimen ‘busuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJALIN kolaborasi dengan usahawan kontroversi, Datuk Seri Vida dalam lagu terbaharu berjudul Swipe, penyanyi Alyph menafikan sengaja mengeksploitasi atau melacurkan muzik dengan menumpang sensasi pihak lain, sebaliknya sekadar memaksimumkan kemampuan dan ruang kreatif depan mata.

“Ada suara Denzel Washington, Datuk M. Nasir sedang berborak dan akhirnya, saya jumpa satu klip yang dirasakan sesuai iaitu daripada Datuk Seri Vida.”

Itu penjelasan penyanyi pemilik nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, bercerita tentang asbab penampilan taikun usahawan sensasi itu dalam lagu terbaharunya, Swipe.

“Kalau tak silap saya, dalam klip itu, dia tengah ketawa sebab dia suruh Cik B (anaknya) cuci tangan.

“Kebetulan, saya rasa suara dia paling sesuai untuk dimasukkan sedikit dalam lagu Swipe ini.

Karakter tersendiri Vida menjadi satu daya tarikan buat Alyph untuk menyunting wanita sensasi itu tampil dalam lagu dan MV single terbaharunya, Swipe.

Vida ‘adlib’ sendiri

“Alhamdulillah, setelah dihubungi pihak label, dia berikan persetujuan. Vida pun sebenarnya tak faham mulanya. Dia ingat, dia kena rap tapi idea saya lain.

“Nak tahu, kena dengar dan tengok muzik video,” kata Alyph, 33, kepada HibGlam baru-baru ini.

Ditanya tentang bahagian nyanyian Vida, Alyph mendedahkan, wanita itu melakukan improvisasi sendiri.

“Dia ‘adlib’ (buat improvisasi) sendiri. Serius. Label punyalah penat cetak lirik. Tapi, sebelum itu, saya cakap, saya nak energi dan karakternya dalam lagu.

“Lagu ini tentang apa yang kita suka dan tak suka. Vida mana ada peduli. Kalau dia suka, dia sukalah

“Jadi, dipendekkan cerita, saya cakap dengan dia ‘just do you thing’ (buat sahaja apa yang dia nak). ‘Adlib’ sahaja,” kongsi Alyph usai majlis pelancaran lagu tersebut di ibu kota baru-baru ini.

BUKAN eksploitasi, tidak juga mengambil kesempatan membabi buta, Alyph sebaliknya mahu menghapuskan sentimen ‘busuk’ khalayak terhadap Vida dan media sosial menerusi kolaborasi lagu Swipe.

Tak ‘lacurkan’ hip-hop

Ditebak pertanyaan tentang konsep ‘melacurkan’ muzik dengan membawa figura seperti Vida dalam sesebuah karya, Alyph ternyata mempunyai alasan tersendiri.

Dia menafikan sengaja menumpang glamor figura sensasi itu.

“Tujuan saya berkolaborasi dengan Vida adalah untuk menghapuskan dan menghancurkan sentimen tersebut.

“Saya nak tunjukkan bahawa media sosial adalah semata-mata apa yang kita nampak.

“Kalau buat kerja (muzik) dengan cita rasa yang memikat, insya-Allah hasilnya akan diterima orang dengan baik,” katanya.

Alyph turut bertegas, dunia sudah sekarang berubah. Khalayak inginkan sesuatu yang mereka suka tonton atau lihat.

“Sekarang ini, ramai orang buat benda yang mesti kena tular atau viral. Matlamat utama orang sekarang adalah tular dalam media sosial.

“Saya boleh sahaja nak buat kontroversi tanpa melibatkan Vida tapi saya memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Itu bukan sebab mengapa beliau ada dalam lagu ini. ‘It can be done tastefully’ (boleh dilakukan dengan baik).

“Dengan kolaborasi ini, saya nak hancurkan sentimen berkenaan sepenuh dan selama-lamanya,” ujarnya.

Bukan mempergunakan atau mengambil kesempatan terhadap populariti Vida, Alyph berkata, inilah realiti dunia seni hiburan sekarang.

“Orang sebegini selalu menjadi percakapan masyarakat. Saya percayakan kuasa media sosial mereka.

“Saya percaya mereka ada pasukan media sosial sendiri dan apa yang mereka ada sekarang (kejayaan) bukan datang bergolek,” ujarnya.

Muzik video (MV) rasmi Swipe yang menampilkan Vida, 52, boleh ditonton menerusi YouTube bermula 28 Oktober 2022.

Melanjutkan perbualan, graduan Temasek Polytechnic itu juga mendedahkan, kesihatan mentalnya kini semakin pulih selepas dunia beransur-ansur berpisah dengan pandemik Covid-19.

PERLAHAN-LAHAN keluar daripada masalah depresi, Alyph menggunakan ruang kreatif yang ada untuk berkarya menerusi muzik. – UNIVERSAL MUSIC & MUHAMAD IQBAL ROSLI.

Hormat Caprice

Mempunyai sejarah masalah kesihatan mental, Alyph memaklumkan, dia sangat menghargai bantuan diberikan aktivis kemanusiaan, Caprice saat dirinya berdepan depresi sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya, Caprice merupakan antara individu terawal ketika dirinya diserang masalah depresi.

“Caprice kawan baik saya dan orang pertama yang saya mesej ketika rasa ‘sesuatu’ tak kena dengan mental saya.

“Kami sudah kenal lama. Dia ada beritahu apa patut saya buat (waktu itu) dan memberi jalan bagaimana untuk berdepan masalah tersebut (depresi).

“Saya sangat hormat dan hargai Caprice sebab tak kisahlah apa sahaja yang sedang berlaku, dia sentiasa akan angkat panggilan telefon saya,” terangnya.

Menyedari kontroversi yang selalu dikaitkan dengan sahabat baiknya itu, Alyph bagaimanapun berkata, dia lebih suka melihat lapisan positif tentang Caprice.

“Caprice tak pernah larikan diri daripada apa-apa pun.

“Jadi, apa sahaja yang dia buat sekarang, kita sebagai manusia sebenarnya hanya suka tengok dan lontarkan pendapat membabi buta.

“Sungguhpun begitu, saya bersetuju bahawa beberapa perkara perlu diselesaikan atau dilaksanakan secara peribadi,” ujarnya.

Pada pandemik lalu, Alyph mendedahkan dirinya berdepan dengan masalah kesihatan mental, namun enggan memperincikan apa sebenarnya yang dialaminya.

Kini, apabila keadaan dunia semakin memulih, perlahan-lahan kesihatan mentalnya juga semakin membaik.

“Apa saya boleh nasihat, kalau ada sesuatu yang tak kena dengan mental kita, jangan percaya apa yang kalian baca atau nampak dalam internet.

“Dapatkan bantuan (jumpa pakar). Baca buku untuk dapatkan ketenangan atau baca al-Quran,” tutupnya.

SEBAGAI kawan baik, Alyph mengakui sangat menghormati Caprice yang tidak pernah mengambil sikap sambil lewa atau lari daripada masalah.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN