fbpx

Mahkamah: Harta RM1 bilion, keluarga Jamaludin Jarjis bincang cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puan Sri Kalsom (kiri) dan Aminah.

KUALA LUMPUR – Kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya memasuki perkembangan baharu apabila pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Dalam prosiding hari ini, peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 66, selaku plaintif memaklumkan terdapat proses perbincangan untuk menyelesaikan kes secara baik seperti saranan mahkamah pada tarikh sebutan kes sebelum ini.

“Oleh itu, kesemua pihak bersetuju untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada hari ini dan akan datang bagi memberi laluan kepada perbincangan keluarga yang mana perbincangan tidak melibatkan peguam serta pihak luar,” kata Nur Husniah.

Dalam pada itu, seorang pagi peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang turut mewakili Kalsom berkata perbincangan itu memerlukan masa bagi penyelesaian yang tidak lagi merumitkan hal keluarga.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan memfailkan pernyata keterangan tambahan berkaitan tuntutan itu jika perbincangan tidak berjaya.

Sementara itu, peguam syarie Nur Hidayah A Bakar dan peguam Syarie Farhan Haziq Mohamed yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima, kemudian mengesahkan terdapat perbincangan keluarga dalam menyelesaikan kes tuntutan tersebut.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid kemudian menetapkan 31 Januari 2023 bagi keputusan status perbincangan kes tuntutan itu.

“Mahkamah meraikan tindakan yang dibuat secara perbincangan ini dan memandangkan terdapat tolak ansur daripada kesemua pihak untuk menyelesaikan tuntutan dengan cara baik, diharapkan tidak berlaku sebarang pertengkaran yang dapat merosakkan institusi kekeluargaan,” kata hakim syarie tersebut.

Bagaimanapun Kalsom, Aminah dan empat anak Jamaludin tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguam masing-masing.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah Abdullah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI