fbpx
BEGINILAH rupa entiti menyerupai ‘datuk’ yang dikatakan ingin berdamping dengan Lin.

Kelibat arwah ‘datuk’ tunggu di tangga rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka permulaan usia remaja seorang wanita di sebuah perkampungan di Kota Tinggi, Johor yang sepatutnya dipenuhi kegembiraan bersama rakan-rakan, sebaliknya berubah selepas dikurniakan kemampuan melihat makhluk halus.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Lin, 39, berkata, dia tidak menyangka mampu melihat makhluk halus selepas hijab matanya menipis ketika berusia 13 tahun.

Katanya, ketika itu pada waktu senja, dia baru pulang ke rumah menaiki motosikal.

Ceritanya, dikala hendak meletakkan kenderaannya itu, dia terlihat kelibat orang tua yang sedang duduk di atas tangga rumahnya.

Menurutnya, orang tua tersebut menyerupai Allahyarham datuknya yang ketika itu hanya duduk mendiamkan diri tanpa sepatah kata.

“Pada masa itu, saya tertanya dalam hati, sebab apa datuk duduk di luar rumah ketika senja begini. Sewaktu menegurnya, datuk tetap duduk terpaku di tangga tanpa bergerak.

“Ketika itu, ibu bapa yang hairan melihat saya tidak masuk ke rumah, keluar menjenguk saya. Kemudian, saya tanya ibu sebab mengapa datuk duduk di tangga.

“Ketika itu saya seakan lupa bahawa datuk telah lama meninggal dunia. Lantas, bapa terus menyuruh saya masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

“Bapa mengambil air yang telah dibacakan surah Yassin lalu menyuruh saya minum dan menyapu pada wajah. Ia membuatkan saya tersedar,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Ujar Lin, bapanya bertanya sama ada benar dia melihat kelibat datuk.

“Saya menjawab ya. Selepas itu, bapa mula menceritakan sejarah keluarga datuk nenek moyang kami yang ada membela saka.

“’Benda’ itu mendekati saya untuk mendampingi, menurut kata bapa. Dari situ juga bapa tahu bahawa saya ada kemampuan melihat lebih daripada orang lain.

“Sejak itu, kelibat ‘datuk’ sering mengikuti saya untuk berkawan. Sehinggakan saya pernah mengalami histeria, meracau, bahkan demam selama seminggu.

Disebabkan sering jatuh sakit, ibu bapa Lin telah membawanya berubat secara tradisional di merata tempat.

Katanya, sewaktu berubat, dia bertemu dengan seorang perawat yang memintanya agar reda dengan kelebihan itu dan sentiasa berdoa meminta perlindungan Tuhan.

“Saya ikut apa yang perawat itu katakan, saya reda dengan kelebihan ini. Mungkin asbab saya reda, diri kembali pulih. Saya juga pesan kepada ‘datuk’ agar pergi jauh kerana saya tidak mahu berkawan dengannya.

“Lama kelamaan, kelibat ‘datuk’ semakin menjauh. Meskipun kelibat entiti itu sudah tidak muncul, namun saya masih boleh rasa kehadirannya andai ada makhluk lain ada berhampiran saya.

“Setiap kali itu berlaku, saya katakan kepada makhluk tersebut supaya jangan mengganggu saya atau sekadar mengabaikan sahaja,” katanya.

Lin berkata, terdapat ahli keluarga dan sebilangan rakan rapatnya tahu akan kelebihan dimiliki.

“Cuma apabila berdepan situasi ternampak makhluk halus, saya hanya mendiamkan diri. “Saya risau benda ghaib ini bukan semua orang boleh terima kalau kita cerita.

“Jadi, setiap kali ternampak makhluk halus saya cepat-cepat berlalu ke tempat lain dan berlagak seperti tiada apa-apa berlaku,” katanya.

Tambahnya, pada awalnya, dia memang rasa tidak selesa dengan kelebihan tersebut.

Dia memaklumkan, perasaannya bercampur baur dan takut apabila dapat kelibat makhluk halus terutamanya di kawasan-kawasan ‘keras’.

Bagaimanapun, lama kelamaan, perkara tersebut menjadi biasa dan perasaan takut juga mulai hilang, di samping berdoa meminta perlindungan daripada Tuhan.

“Biasanya, saya tidak dapat melihat wajah makhluk halus ini sepenuhnya dan hanya dapat kelibat dan imbasan sahaja.

“Saya pernah berkunjung ke sebuah pulau bersama rakan. Saya dapat lihat pulau itu mempunyai sebuah kampung yang dihuni oleh masyarakat alam lain.

“Ketika itu saya hanya mendiamkan diri sahaja. Ketika hendak pulang, baru saya menceritakan hal berkenaan kepada rakan-rakan. Ada antara mereka yang terkejut dengan apa yang saya ceritakan.

“Kita tidak boleh nafikan dalam kehidupan ini, bukan manusia sahaja yang menjadi penghuni, namun ada mahkluk lain juga tinggal bersama.

“Bagi saya, kita perlu sentiasa beringat dan memohon doa kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan daripada segala musibah,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN