fbpx

Awesome TV anggap A. Aida tak layak berada di Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM menggesa Finas kenakan tindakan tegas terhadap penerbit, A. Aida yang juga Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu.

PETALING JAYA – Stesen penyiaran televisyen swasta percuma, Awesome TV, menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengambil tindakan tegas terhadap penerbit Datuk A. Aida susulan kenyataan kontroversinya yang boleh merosakkan industri seni.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Ilyas berkata, A. Aida selaku Ahli Lembaga Pengarah Finas sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan kurang cerdik yang menunjukkan dia tidak layak berada di kerusi tersebut.

“Paras rupa bukan faktor penentu kejayaan sesebuah karya. Saya pasti ramai penggiat seni bersetuju kenyataan itu tidak bijak dan boleh merosakkan industri seni.

“Kami berpendapat Finas perlu mengambil tindakan tegas terhadap penerbit tersebut. Dia tidak layak berada di Finas, apatah lagi menggalas tanggungjawab  Ahli Lembaga Pengarah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Adam turut menegaskan Awesome TV sentiasa memberi peluang sama rata kepada semua penggiat seni untuk memainkan peranan, baik di depan atau belakang kamera merentasi setiap peringkat usia.

“Dari hari pertama bersiaran pada Ogos 2020, kami tidak mengamalkan diskriminasi dalam menentukan pembabitan mana-mana anak seni menerusi program terbitan kami.

“Bakat sentiasa dijadikan faktor nombor satu yang kami tekankan. Kami juga sentiasa menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pelakon, bermula sesi pemilihan barisan utama sesebuah produksi.

“Sesebuah karya perlu ada keseimbangan untuk menjadikannya hebat dan diterima ramai.

“Bakat, strategi pemasaran, jalan cerita dan pengarahan yang baik adalah formula tepat untuk menarik tontonan masyarakat,” katanya lagi

Terdahulu, A. Aida membuka peluang kepada orang ramai untuk menyertai uji bakat mencari pelapis baharu dalam program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang diadakan pada 23 dan 24 Oktober lalu.

Bagaimanapun, kenyataannya menarik perhatian ramai apabila penerbit itu mahu memberi keutamaan kepada calon berwajah cantik dan kacak kerana beranggapan aspek tersebut lebih penting.

Selain menerima maklum balas daripada ramai pelakon tanah air yang rata-rata menyelar kenyataan tersebut, beberapa wakil persatuan turut menyuarakan pandangan.

Biarpun meraih kecaman, pemilik A Aida Productions Sdn. Bhd. itu enggan peduli, sebaliknya menegaskan sebagai produser dia mempunyai hak bersuara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI