fbpx
FAIZAL HUSSEIN

Usia 55, Faizal Hussein masih nak jadi hero?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDIRI sebagai anak seni yang sudah lebih tiga dekad ‘menghambakan’ diri dalam dunia lakonan, Faizal Hussein sememangnya layak untuk menjadi selektif dalam menerima sebarang watak.

Semua itu bukan kerana mengejar keeksklusifan tetapi disebabkan faktor usia dan kualiti sesebuah naskhah.

Akui aktor berusia 55 tahun itu, menjadi seorang pelakon sememangnya memerlukan kesanggupan memegang apa sahaja watak, namun kualiti sesebuah naskhah juga perlu dititikberatkan.

Hero Gila-Gila Remaja itu mendedahkan pernah menolak hampir 80 peratus tawaran lakonan dek percanggahan dengan prinsipnya sebagai pelakon.

FOTO: MOHD. FIRDAUS MOHD JOHARI

“Banyak tawaran tetapi bukan semuanya boleh diterima. Memang hampir 80 peratus tawaran saya tolak dan hanya terima 20 peratus sahaja.

Semuanya kerana tidak menepati apa yang saya inginkan,” tuturnya kepada HibGlam baru-baru ini.

Menelusuri akal fikirnya pada pertemuan yang berlangsung di Ascott Star KLCC di ibu negara baru-baru ini, Faizal memberitahu, kebanyakan tawaran yang diterima ialah watak bapa untuk drama slot waktu petang.

Akuinya, sikap selektif tersebut semakin membuak-buak selepas dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Bunohan sekitar 2013.

“Mungkin kerana usia, kebanyakannya ialah watak bapa dalam drama petang-petang tetapi saya tolak.

“Selepas raih trofi terbaik menerusi Bunohan, saya cuma pilih watak utama. Kalau boleh, watak utama itu biarlah yang mencabar kemampuan sebagai pelakon.

“Mungkin kerana itu juga wajah saya jarang ada dalam televisyen kerana saya tak berlakon dalam drama bersiri, kecuali watak bapa yang merupakan hero bagi sesebuah naskhah,” ujarnya.

MELETAKKAN harga, Faizal memberitahu bukan semua pihak mampu membayar hasil kerja yang ditawarkannya dengan nilai setimpal.

Pertarungan harga

Tanpa berselindung, pemilik nama penuh Mohd. Faizal Hussein itu menegaskan, faktor bayaran juga antara yang diutamakan sebelum menerima sebarang tawaran.

Pernah dikatakan meletakkan kadar bayaran pada harga yang tinggi, bapa kepada sepasang cahaya mata itu menjelaskan, tidak semua produksi tempatan mampu membayar hasil kerjanya.

“Isu harga memang wujud sampai hari ini. Walaupun diberi gelaran artis legenda dan sebagainya, namun bila bercerita perihal bayaran, tidak boleh pula bayar dengan harga setimpal.

“Inilah masalah yang masih berlaku. Pada usia sekarang, saya masih bertarung dengan isu harga.

“Jika tak mampu bayar harga yang ditetapkan, saya tak akan berjumpa dengan pihak produksi,” katanya.

Faizal bagaimanapun masih boleh mempertimbangkan isu bayaran sekiranya naskhah yang ditawarkan berkualiti.

“Kalau cerita berkualiti dan suka dengan watak, saya akan terima biarpun bayaran agak sedikit,” ujarnya yang turut berlakon dalam naskhah One Cent Thief bersama Syafiq Kyle dan Amerul Affendi.

MEMILIH naskhah dan watak, dia kekal dengan prinsip untuk tidak menerima sebarang tawaran lakonan secara semborono.

Daddyku Gangster

Bakal muncul dengan filem terbaharu, Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim, Faizal memberitahu watak Karim yang dijayakan mencabar keupayaannya sebagai pelakon.

“Ketika ditawarkan, mereka maklumkan saya perlu lakukan aksi yang mencabar seperti melompat dari atas lori.

“Itu satu perkara yang memang dinanti-nantikan setiap pelakon iaitu melakukan lagak ngeri, namun tidaklah sehingga boleh mencederakan diri.

“Naskhah ini sangat sesuai ditonton semua lapisan umur kerana sarat dengan mesej kekeluargaan selain diselit unsur komedi.

“Walaupun judulnya kedengaran ganas iaitu gengster, jalan ceritanya sangat santai sebenarnya,” katanya lagi.

Selain Faizal, antara barisan pelakon yang membintangi Daddyku Gangster adalah Zul Huzaimy, Adeline Tsen, Jay Iswazir, Ridzuan Hashim, Zalif Sidek, Reen Rahim, Azri Iskandar dan Vanidah Imran.

Tidak ketinggalan, dua pelakon cilik iaitu Angelica Petra dan Arryyan Petra. Filem tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Disember depan.

FAIZAL dan pelakon handalan, Zul Huzaimy bergabung dalam filem Daddyku Gangster yang bakal memasuki pawagam menjelang 1 Disember depan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN