fbpx

PRU15: Mahkamah tolak permohonan Charles, Syed Iskandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini berpendapat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mendapat persetujuan atau berunding dengan anggota Kabinet sebelum membuat permohonan untuk membubarkan Parlimen.

Demikian alasan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid ketika memutuskan dua tindakan undang-undang berhubung pembubaran Parlimen dan usaha untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau membenarkan permohonan Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Charles Santiago.

Di mahkamah yang sama, beliau menolak tanpa kos permohonan Syed Iskandar untuk memulakan semakan kehakiman bagi menghalang SPR mengadakan PRU15.

Dalam kedua-dua kes berkenaan, Hakim Ahmad Kamal berpuas hati Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk memohon pembubaran Parlimen dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

“Ini kerana kuasa untuk memohon pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri yang mempunyai kuasa mutlak.

“Selaku Ketua Eksekutif beliau boleh membuat permohonan untuk membubarkan Parlimen tanpa mendapatkan nasihat daripada anggota Kabinet.

“Paling utama, Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai budi bicara untuk sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut.

“Kuasa prerogatif untuk membubarkan Parlimen terletak sepenuhnya kepada YDPA untuk memperkenankan permohonan pembubaran Parlimen mengikut Perkara 42b Perlembagaan Persekutuan berhubung permohonan Perdana Menteri juga bukanlah sesuatu yang boleh dicabar,” katanya.

Mahkamah memutuskan bahawa saman itu tidak mempunyai sebarang merit, remeh, menyusahkan, tidak mempunyai kausa tindakan yang munasabah serta satu proses menyalahgunakan proses mahkamah.

Mahkamah membatalkan saman pemula itu dengan kos sebanyak RM20,000.

Terdahulu, beliau turut menolak permohonan pengundi kawasan Parlimen Pandan itu untuk menangguhkan keputusan tersebut sementara pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Ujar hakim berkenaan, isu pembubaran Parlimen tidak boleh dipertikai melalui tindakan undang-undang dan jika kebenaran diberikan sekalipun, tidak memungkinkan relif dibenarkan walaupun selepas beliau mendengar perbicaraan penuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI