fbpx

Perjuangan Ultras Malaya demi bola sepak Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ULTRAS Malaya memainkan peranan penting bagi memberi semangat kepada pemain skuad bola sepak kebangsaan.
SHAZWAN YUSOP, WARTAWAN EKSEKUTIF

PADA Jun lalu, skuad Harimau Malaya telah mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 apabila menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kumpulan E di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kejayaan tersebut mengakhiri penantian selama 42 tahun untuk layak ke Piala Asia, selepas kali terakhir skuad negara layak secara merit pada 1980.

Kejayaan skuad kendalian Kim Pan Gon itu sedikit sebanyak dapat mengubat hati penyokong tegar Harimau Malaya yang sentiasa menantikan kejayaan pasukan negara di pentas tertinggi.

Kejayaan berkenaan bukan sahaja hasil kerja keras para pemain di atas padang, malah pe­ranan dimainkan oleh pihak pengurusan terutamanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak harus dipandang sepi.

Bagaimanapun, penulis akui ramai mula lupa sumbangan besar ‘pemain ke-12’ yang sentiasa memberi sokongan dalam apa jua situasi terutama. Antaranya adalah Ultras Malaya (UM).

Sorakan padu kumpulan UM bukan sahaja mampu menaikkan semangat pemain negara, malah berjaya menggerunkan pihak lawan terutamanya di Stadium Bukit Jalil.

Perkara tersebut diakui Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo yang menyifatkan sorakan UM boleh menggetarkan pemainnya ketika beraksi di Bukit Jalil.

Rentetan itu, pasukan Vietnam sanggup menjalani latihan dengan memainkan chant atau sorakan daripada kumpulan UM bagi membiasakan para pemain mereka dengan suasana sebenar.

Capo UM, Mohd. Ridzuan Ahmad berkata, kejayaan skuad negara layak ke Piala Asia 2023 telah berjaya merealisasikan salah satu visi utama kumpulan tersebut sewaktu mula ditubuhkan sekitar tahun 2007.

“Matlamat utama penubuhan UM adalah untuk menyokong skuad negara sehingga layak ke Piala Asia serta melihat salah sebuah kelab tempatan bermain di AFC Champions League.

“Kedua-dua visi berkenaan telah berjaya direalisasikan dalam tempoh 15 tahun selepas penubuhan UM. Satu sahaja visi yang masih belum tercapai adalah layak ke Piala Dunia secara merit,” jelasnya.

Dia menambah, perjuangan berterusan UM bagi mendesak perubahan pada pengurusan FAM selama ini telah membuahkan hasil, meskipun terpaksa menggunakan cara agak keras.

Jelasnya, UM pernah me­nimbulkan kekecohan pada Mac 2014 ketika aksi persahabatan antara Malaysia dan Filipina di Stadium Perbandaran Selayang, Selangor. Ia bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan FAM.

“Saya sendiri pernah ditahan reman selama dua hari selepas berlaku kekecohan sewaktu perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi pada kelayakan ­Piala Dunia 2018 di Stadium Shah Alam (Selangor),” ujarnya.

Mohd. Ridzuan yang turut dikenali sebagai Lekir turut memaklumkan, UM mula diterima baik oleh masyarakat di negara dan pihak FAM sejak lima tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, pada peringkat awal penubuhan UM dahulu, banyak pihak melabel kumpulan tersebut sebagai ganas dan sering membuat bising di dalam sta­dium sehingga mengganggu tumpuan penyokong lain.

“Ramai yang melabel kami sebagai hooligans, perusuh dalam bola sepak. Kami juga dituduh sering memalukan negara di pentas antarabangsa. Tetapi, kami tidak ambil peduli semua itu.

“Kami tetap teruskan perjuangan mulia ini demi kebaikan bola sepak negara. Kami tidak harap­kan sebarang balasan kecuali ingin melihat peningkatan mutu bola sepak tanah air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI