fbpx

Pengantin berputih mata ditipu pakej perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang dicari polis bagi membantu siasatan kes penipuan pakej perkahwinan di Bentong.

BENTONG – Seorang pengantin dan ibunya terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM20,900 selepas ditipu sindiket penipuan pakej perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 28 tahun dan ibunya berusia 58 tahun telah terpedaya dengan tawaran pakej perkahwinan oleh sebuah syarikat didaftarkan sebagai ‘The Wedding By Fiey’.

Katanya, syarikat pakej perkahwinan tersebut dilaporkan memperdaya mangsa dengan membuat pengiklanan promosi pakej perkahwinan di laman Facebook menggunakan nama syarikat berkenaan.

Katanya, antara pakej yang ditawarkan syarikat yang mempunyai premis perniagaan di Bentong itu ialah set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

“Setelah mangsa bersetuju mengambil pakej perkahwinan tersebut, mangsa diminta datang berjumpa dengan suspek untuk berunding dan suspek kemudiannya meminta mangsa membuat pembayaran penuh untuk menempah pakej perkahwinan.

“Setelah mangsa memindahkan wang pembayaran penuh atas nama syarikat suspek, suspek telah menghilangkan diri dan kerugian dialami kedua-dua mangsa ialah sebanyak RM20,900,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaiham, polis menerima aduan daripada kedua-dua mangsa pada 24 Oktober lalu dan kes disiasat mengikut Seksyan 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, pada masa ini polis masih giat mengesan suspek yang dikenali sebagai Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu yang berusia 28 tahun.

Beliau memberitahu hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut wujud dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Butik suspek yang dikenal pasti di bandar Bentong telah ditutup dan suspek dipercayai telah menghilangkan diri.

“Polis memohon kerjasama mangsa-mangsa lain yang telah ditipu untuk membuat laporan polis dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek dapat tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI