fbpx

Piala Malaysia: Pemain muda kurang pengalaman punca KDA FC tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ifwat (kiri) menghalang percubaan pemain Negeri Sembilan FC, Mohd. Zaquan Adha (kanan) pada saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam semalam. Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Penolong Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag menganggap kekurangan pengalaman dalam kalangan pemain muda menjadi antara faktor utama pasukan itu tewas kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman, di sini malam semalam.

Menurut Victor, faktor masa juga tidak memihak kepada mereka dengan dia sendiri baru mengambil alih tugas sebagai pemangku ketua jurulatih setelah khidmat Aidil Sharin Sahak ditamatkan pada 17 Oktober lalu.

Katanya, beliau cuba menerapkan beberapa perubahan, namun perkara itu sudah tentu memerlukan masa untuk menampakkan hasil.

“Memang benar kita tewas malam ini tetapi saya gembira dengan kesungguhan ditunjukkan pemain yang seolah-olah mahu membuktikan sesuatu kepada penyokong dan pengurusan.

“Ramai pemain muda dimasukkan malam ini dan mereka jelas memberikan komitmen 100 peratus,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir perlawanan tersebut.

Menurutnya, jelas kelihatan bahawa pengalaman membezakan kedua-dua pasukan tersebut.

“Kesilapan-kesilapan kecil yang kita tekankan terutamanya berkenaan reaksi ketika kehilangan bola jelas membawa padah,” ujarnya.

Berhubung keputusan memasukkan pemain yang jarang diturunkan seperti Mohd. Aiman Afif dan Mohammad Afeeq Iqmal Rosli, Victor berkata, beliau percaya pemain muda itu mampu melaksanakan tugas dengan baik sekiranya diberi peluang dan masa untuk meningkat.

“Jadi saya harap sangat agar semua pihak memberi ruang dan masa kepada pemain-pemain ini. Malam ini pun saya yakin kalangan penyokong nampak impak diberikan mereka.

“Saya sebenarnya amat berterima kasih kepada penyokong di stadium malam ini kerana memberi sambutan menggalakkan kepada anak-anak muda yang beraksi malam ini.

“Tidak semestinya kita kalah malam ini, kita akan turut gagal pada masa depan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, KDA FC terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi Fayadh Zulkifli, namun NSFC yang dibimbing K. Devan berjaya menghasilkan dua gol pada minit ke-41 dan ke-66 menerusi pemain pertahanan, Che Rashid Che Halim serta Matheus Alves Leandro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI