fbpx
Harga ikan kembung yang dikenali sebagai ikan rakyat kini mencecah RM20 sekilogram. -GMBAR HIASAN. FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED

Kembung kini bukan lagi ‘ikan rakyat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kenaikan harga barang keperluan sejak ke­belakangan ini mengundang kerisauan dalam kalangan golongan kurang berkemampuan sehingga ada di antara mereka yang terpaksa mencatu perbelanjaan.

Rata-rata mereka yang ditemui resah lebih-lebih lagi kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung melebihi pendapatan bulanan yang diperoleh.

Keadaan itu menyebabkan ada yang terpaksa berhutang dengan ahli keluarga, malah lebih teruk dengan sindiket ceti haram atau ah long untuk menampung lebihan kos perbelanjaan tersebut.

Pekerja di Pasar Besar Alor Setar, Mariam Jaafar, 41, berkata, dia memperoleh pendapatan RM30 sehari dengan menjual siput lala dan hasil laut lain di pasar tersebut.

“Dengan wang itulah saya membeli barangan keperluan harian. Saya terpaksa membeli barang setiap hari kerana tidak mampu membeli dalam kuantiti yang banyak.

“Kalau beli ayam misalnya harga tiga bahagian paha sudah melebihi RM20. Itu tidak terma­suk bahan masakan lain seperti sayur dan ikan yang kebanyakannya sudah naik harga,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mariam, harga ikan kembung yang dikenali sebagai ikan rakyat juga mahal ketika ini iaitu antara RM16 dan RM20 sekilogram berbanding RM10 sekilogram sebelum ini.

“Bahan masakan seperti telur dan minyak masak juga sukar diperoleh di sesetengah tempat.

Seorang peniaga menunjukkan ikan kembung yang dijual pada harga RM16 sekilogram di Alor Setar baru-baru ini.

“Kalau telur, ia agak mudah diperoleh di pasar besar, tetapi minyak masak peket pula susah kerana cepat habis. Hendak beli minyak masak botol pula tidak mampu,” ujarnya yang terpaksa menanggung keluarga kerana suami mengalami masalah kesihatan.

Malah, jelas Mariam, jika perlu membeli barangan keperluan, dia terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM70 dan ia melebihi daripada perbelanjaan diperoleh.

“Itu tidak kira kos sewa rumah sebanyak RM400 sebulan dan perbelanjaan sekolah dua anak iaitu RM15 sehari. Memang saya tidak mampu,” ujarnya.

Mariam bimbang apabila bekalan barang makanan utama seperti telur, minyak masak peket dan ikan kembung sema­kin berkurangan. Kami yang hidup susah terasa semakin susah.

Mariam yang bekerja di Pasar Besar Alor Setar mengeluh dengan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

“Orang berpendapatan rendah seperti saya memang sukar untuk menyimpan wang atau berjimat kerana pendapatan hanya cukup-cukup makan,” tambahnya.

Bagi pekerja kedai makan, Norsham Suhada Sulaiman, 34, pula, kenaikan harga barang makanan ketika ini sangat membebankan.

“Ayam dan ikan kembung sudah mahal. Telur ayam dan minyak masak peket pula sukar diperoleh. Keadaan itu menjadikan kehidupan keluarga berpendapatan rendah dan tidak menentu seperti kami menjadi bertambah sukar,” katanya.

Menurut Norsham, telur yang merupakan makanan wajib di rumahnya kini sukar diperoleh di kedai-kedai runcit berdekatan di Sungai Petani.

Norsham Suhada yang mempunyai empat anak resah apabila perbelanjaan meningkat berikutan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.

“Hendak beli ayam dan ikan, terasa juga kerana harga makin naik. Ikan kembung bersaiz kecil yang biasanya digunakan untuk buat laksa dijual pada harga RM12 sekilogram. Saya bernasib baik sebab kadang-kadang majikan beri lauk untuk dibawa pulang,” katanya.

Seorang ibu tunggal yang mahu dikenali sebagai Asmah, 46, memberitahu, dia berniaga produk kesihatan dan kosmetik secara dalam talian dengan pendapatan tidak menentu.

“Perbelanjaan barang dapur untuk saya dan empat anak tinggi dan kadang kala melebihi pendapatan yang diterima.

“Apabila tidak cukup duit, saya terpaksa hutang di kedai runcit untuk membeli barang makanan.

“Pernah juga saya meminjam daripada saudara-mara dan ah long untuk perniagaan dan wang belanja,” tambahnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN