fbpx

PRU15: Idris Jusoh umum berundur, beri laluan calon muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Idris.

KUALA TERENGGANU – Penyandang Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan beliau akan berundur dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi FELDA memberitahu, keputusannya itu bagi memberi laluan kepada pemimpin lebih muda seiring hasrat UMNO untuk meremajakan parti.

“Sebenarnya, saya mahu berundur sejak tahun 2013 lagi bagi memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.

“Hasrat itu disampaikan kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO pada masa itu namun akur untuk terus bertanding diminta meneruskan khidmat kepada parti dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris menjelaskan beliau telah mengambil langkah awal untuk berundur secara beransur-ansur dalam arena politik dengan melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Besut pada tahun sama.

Bekas Menteri Besar Terengganu percaya sekarang masa tepat untuk memberi laluan kepada pemimpin muda memandangkan usianya akan mencecah 67 tahun pada bulan depan.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan rakyat atas sokongan selama ini serta parti yang tanpa jemu memberi kepercayaan sehingga kini.

“Saya doakan UMNO dan Barisan Nasional terus berjaya dan akan terus bekerja kuat untuk memastikan BN terus menempa kemenangan cemerlang dalam PRU15,” katanya.

Idris yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi yakin masa depan UMNO akan jadi lebih bertenaga dan diminati pengundi dengan barisan kepimpinan yang lebih muda.

Karier politik Idris bermula pada tahun 1995 apabila dipilih sebagai Ahli Parlimen Besut pada usia 40 tahun.

Beliau kemudiannya mengemudi BN merampas semula kerajaan negeri Terengganu daripada Pas pada 2004 seterusnya menjadi Menteri Besar sehingga 2008.

Pada 2013, Idris yang sebelum itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh kembali ke Parlimen dan menjadi Timbalan Menteri Pendidikan II sebelum dinaik pangkat sebagai Menteri Pengajian Tinggi empat tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI