fbpx
VIDEO yang tular sejak semalam mendakwa pihak berkuasa Singapura menghalau nelayan tempatan yang mencari rezeki di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua, Iskandar Puteri, Johor. Gambar hiasan

Polis Singapura halau 10 nelayan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI – Pihak berkuasa Singapura dikecam setelah didakwa menghalau 10 nelayan tempatan yang berada di kawasan perairan negara, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, kumpulan nelayan mendakwa mereka dihambur kata-kata kesat menggunakan pembesar suara ketika dihalau oleh bot pihak berkuasa republik berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, ketika kejadian, kumpulan nelayan tempatan sedang memasang jaring udang yang ingin dilepaskan di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua (Second Link), di sini.

Katanya, masalah timbul setelah bot pihak berkuasa Singapura menghampiri bot nelayan tempatan itu lalu menghalau mereka kerana didakwa menceroboh sempadan republik itu.

“Kawasan itu masih di perairan negara di Selat Johor malah bot peronda republik itu yang sebenarnya telah menceroboh masuk ke sempadan negara.

“Kumpulan nelayan juga mempunyai bukti video yang mereka masih berada di kawasan sempadan negara selain turut merekodkan provokasi pihak berkuasa Singapura terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, tular dua video berdurasi dua minit dan 43 saat di media sosial yang menyaksikan nelayan tempatan dihalau pihak berkuasa Singapura.

Hal ini menyebabkan warganet ‘naik angin’ dan mahukan pihak berkuasa negara mengambil tindakan tegas atas pencabulan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Pandak berkata, satu laporan polis sudah dibuat kumpulan nelayan terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira pukul 2.30 petang.

Katanya, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hak nelayan yang mencari rezeki di kawasan perairan negara tidak diperlakukan sedemikian rupa.

“Saya difahamkan kejadian sama sudah beberapa kali berlaku namun nelayan hanya mengambil tindakan mendiamkan diri sebelum ini supaya ia tidak menjejaskan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR