HIDUP di dunia serba moden hari ini, tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang menceburi bidang kraf tangan terutama seni pertukangan kayu. Justeru, individu yang berbakat dan mahir dalam seni pertukangan atau ukiran kayu dilihat memiliki kemahiran yang amat berharga.
Pembuatan sesuatu produk kraf juga mampu menghasilkan pendapatan sampingan mahupun tetap jika dilaksanakan secara serius.
Bagi Mohd. Yunus Ismail, 51, bakat seni pertukangannya ternyata mampu menjana pendapatan. Lelaki tersebut dikenali dengan kreativitinya menghasilkan gasing-gasing mini berwarna-warni yang diusahakan di sebuah bengkel di Felda Tenang, Labis, Segamat, Johor.
Diperbuat daripada kayu, gasing-gasing yang dihasilkannya kelihatan unik kerana ‘comel’ berbanding gasing-gasing tradisional yang lebih besar.
Mohd. Yunus sebenarnya meneruskan legasi bapanya yang merupakan pembuat gasing terkenal di kampungnya, cuma dia telah mempelbagaikan lagi kraf dengan penghasilan gasing mini yang dianggap suatu yang inovatif kerana jarang diusahakan pihak lain.
“Saya mula tertarik untuk membuat gasing apabila melihat bapa saya menghasilkan gasing daripada kayu-kayu hanyut hanya dengan peralatan tangan tanpa menggunakan mesin.
“Dari situ, saya belajar cara-cara membuat gasing sehingga mampu mengukir sebiji gasing,’’ katanya kepada Panorama.
Mohd. Yunus berkata, bermula dari tahun 2007, gasing yang dihasilkannya telah ‘menjelajah’ ke seluruh negara dengan pelbagai bentuk dan warna.
Pengukir gasing kepada enam orang anak ini berkata, sehingga kini, gasingnya mendapat banyak permintaan bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.
“Saya menerima banyak tempahan terutama dari negara Eropah seperti Jerman, Itali dan United Kingdom yang tertarik dengan seni dan kehalusan gasing mini yang saya buat.
“Di pasaran tempatan, saya lazimnya menerima tempahan sebanyak 1,800 biji gasing mini sebulan,’’ ujarnya.
Mohd. Yunus yang juga merangkap Pengurus Drifwood Art berkata, sambutan orang ramai terutama kanak-kanak amat luar biasa sehingga stok jualan terutama ketika berlangsungnya festival ‘laku keras’ dan dia terpaksa membuatnya lagi berikutan permintaan yang tinggi.
Kongsi Mohd. Yunus, dia pernah menerima tempahan daripada seorang ahli perniagaan dari sebuah negara Arab yang ingin menempah 32,000 biji gasing mini buatannya.
Namun, dia terpaksa menolaknya kerana tidak mampu untuk menerima permintaan tersebut walaupun ahli perniagaan itu memberinya tempoh setahun untuk menyiapkannya.
“Bukan saya tidak boleh buat, tetapi saya memerlukan mesin semiauto yang boleh mempercepat dan meningkatkan pengeluaran bagi penghasilan gasing dalam jumlah berkenaan yang berkualiti, namun saya belum memilikinya.
“Jadi, saya terpaksa menolaknya walaupun saya tahu jika saya mampu membuatnya sudah tentu mendapat keuntungan yang tinggi,’’ jelasnya.

Buat masa ini, kata Mohd. Yunus, dia hanya mempunyai dua buah mesin secara manual bagi mengukir bentuk gasing sama ada kecil, sederhana dan besar yang memerlukan antara 15 hingga 20 minit untuk membuat sebiji gasing.
Dengan mesin inilah dirinya mampu membuat 40 biji mini gasing yang berkualiti dan mendapat permintaan tinggi terutama daripada peminat kraf tangan.
Gasing mini yang beraneka bentuk dan warna itu dijual dengan harga antara RM10 hingga RM20 bergantung pada saiz dan ia menjadi tarikan kepada para pengunjung terutama kanak-kanak.
Mohd. Yunus memberitahu, mereka yang berminat boleh membuat tempahan menerusi e-mel [email protected] dan pembuatan gasing pula boleh disaksikan di 1007, Jalan Balairaya Felda Tenang, Labis Segamat.
Mohd. Yunus menjelaskan, proses untuk menghasilkan atau mengukir gasing mini supaya nampak cantik adalah mencabar berbanding membuat gasing bersaiz besar.
Dengan menggunakan kayu cengal yang dipotong panjang bersaiz enam inci setiap satu, batang kayu itu kemudian ‘dilekatkan’ pada mesin bagi memudahkan untuk mengukirnya apabila mesin mula berpusing.
“Setiap batang kayu cengal itu boleh menghasilkan dua atau tiga gasing mini apabila diukir menggunakan pisau pengukir khas, namun memerlukan penelitian ketika mengukir. Sedikit kesilapan boleh menyebabkan kayu itu terbelah dua dan rosak.
“Untuk mengukir, perlu ada kreativiti dan kemahiran bagi membentuk gasing mini ini sama ada bentuk kiub, leper atau panjang, tetapi asasnya mestilah bulat,’’ katanya.
Tambahnya, ukir lilit setiap gasing berbeza-beza iaitu antara 5.03 sentimeter (sm) hingga 7.62sm.
Menyentuh mengenai idea pembuatan gasing mini, Mohd. Yunus berkata, ia ideanya sendiri memandangkan belum ada pihak yang membuat gasing bersaiz kecil.
“Idea tercetus apabila melihat hanya orang dewasa yang bermain gasing pangkah berbanding kanak-kanak, jadi saya mengubahnya menjadi lebih kecil dan menarik,” ujarnya.
Gasing mini ini menurut Mohd. Yunus selamat dimainkan kanak-kanak kerana tidak mempunyai paku atau benda tajam dan mudah untuk dipusingkan dengan tangan serta dibawa ke mana saja di dalam poket.
“Biasanya kanak-kanak yang berumur enam hingga 10 tahun amat berminat bermain gasing mini dan mereka akan beradu berapa lama gasing yang dipusingkan dengan tangan itu boleh bertahan lama.
“Bukan itu saja gasing mini ini juga boleh dijadikan barangan hiasan dan dijadikan hadiah,’’ katanya lagi.














