fbpx

[VIDEO] Penumpang feri terkandas lebih 6 jam selamat tiba di terminal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang feri yang terkandas lebih enam jam selamat tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 9.20 malam tadi.

ALOR SETAR – Kesemua penumpang feri yang terkandas pada beting lumpur di perairan Kuala Kedah sejak pukul 3 petang tadi selamat tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 9.20 malam ini.

Feri tersebut ditarik menggunakan bot tunda milik sebuah syarikat kargo di sini kira-kira pukul 8.50 malam.

Difahamkan, feri berkenaan dapat ditarik keluar dari kawasan lumpur itu selepas air laut pasang.

Feri itu pada awalnya memuatkan seramai 547 penumpang dengan sebahagiannya telah dipindahkan ke bot milik Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan ke terminal secara berperingkat.

Baki penumpang yang tiba, ketika ditemui mengadu keletihan kerana terpaksa berada di dalam feri itu lebih enam jam.

Terdapat beberapa penumpang yang terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda kerana mendakwa keletihan.

Terdahulu, operasi pemindahan perubatan (Medevac) menggunakan bot APMM dan bot nelayan melibatkan dua penumpang yang mengalami sesak nafas.

Selain itu, operasi turut membabitkan dua penumpang yang merupakan pesakit saraf dan seorang lagi memerlukan rawatan dialisis.

Mereka dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk rawatan.

Penumpang lain terdiri daripada warga emas, penumpang yang mengalami masalah kesihatan serta wanita bersama kanak-kanak dan bayi juga dipindahkan lebih awal menggunakan bot APMM dan bot nelayan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI