fbpx

12,500 cuti anggota bomba dibekukan untuk persediaan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Hamdan (belakang, lima dari kiri) bersama pasukan yang memenangi pertandingan Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang hari ini.

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti bagi 12,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara mulai 7 November depan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pembekuan cuti berkenaan akan berlanjutan sehingga berakhirnya tempoh kritikal banjir berakhir iaitu bulan Mac depan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, kesemua pegawai serta anggota bomba terlibat akan bersiap siaga di 332 balai bomba di seluruh negara.

“JBPM telah siap sedia daripada pelbagai aspek hadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

“Kita sediakan lebih kurang 1,900 logistik marin, kenderaan darat, pengangkutan dan aset menyelamat lain untuk digunakan dalam operasi banjir nanti,” katanya selepas merasmikan penutup Pertandingan Kawad Kecekapan JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, negeri-negeri yang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor akan menjadi fokus utama JBPM bermula bulan hadapan.

Jelas beliau, gerak kerja JPBM akan berpandukan ramalan cuaca serta kenaikan paras air laut atau fenomena air pasang besar.

“Kita juga akan terus memantau kawasan lereng dan cerun bukit yang berdepan ancaman hakisan dan tanah runtuh selain kawasan rekreasi atau jeram berisiko dilanda fenomena kepala air.

“Kita percaya dengan persiapan dilakukan tahun ini, tahap kesiapsiagaan lebih mantap berbanding tahun lalu. Pengalaman tahun lalu telah mengajar kita perlunya persediaan bagi keperluan-keperluan tertentu yang sebelum ini mungkin luar jangkaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI