fbpx

Tindakan saman JMB tidak urus sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PETUGAS Alam Flora membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah dibuang orang ramai di Lorong Baba, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan lebih tegas iaitu saman akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram di sekitar ibu kota dan Putrajaya tanpa sebarang kompromi bermula tahun depan.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Shuib berkata, perincian berhubung tindakan berkenaan telah disediakan, namun pihaknya memberi tempoh sehingga akhir tahun ini.

“Semua pihak dan penduduk diberi tempoh untuk menyediakan segala keperluan sewajarnya demi memastikan sampah domestik dan pepejal tidak dibuang sesuka hati dan setakat ini sebanyak 382 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan bermula Januari lalu.

“SWCorp bekerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan jawatankuasa penduduk bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan pembuangan sampah dengan betul.

“JMB bertanggungjawab di kawasan rumah bertingkat untuk mengarahkan penduduk setempat membuat pengasingan sampah mengikut jenis serta melakukan kitar semula.

PENIAGA boleh menghantar lebihan makanan termasuk sayur-sayuran yang tidak dapat dijual ke pusat pengumpulan sisa makanan yang disediakan SWCorp.

“Kalau sebelum ini, JMB tidak buat, jadi sekarang saya bersama pasukan khas akan keluar setiap hari memeriksa kawasan dan mencari JMB yang bertugas untuk tunjuk kesalahan mereka.

“Kemudian kami akan senarai dan beri tempoh sebulan untuk JMB perbetulkan serta sediakan kelengkapan seperti tong sampah kitar semula,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, tindakan hanya diambil terhadap kawasan rumah landed sahaja, jadi usaha untuk memastikan negara bersih dengan kawasan di bawah jagaan SWCorp Wilayah Persekutuan terhindar daripada masalah sampah, pihaknya lebih tegas ke atas pihak pengurusan penduduk.

“Jika tahun depan mereka masih gagal mengikut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi peraturan-peraturan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam (Skim bagi sisa pepejal isi rumah dan sisa pepejal yang serupa dengan sisa pepejal isi rumah) 2011, tindakan saman terus diambil,” ujarnya.

Ummi Kalthum

Jelasnya, JMB perlu menyediakan tempat pemungutan yang sesuai dengan saiz isi rumah serta menyediakan tong sampah atau ruang khas mengikut pembahagian sisa baki makanan, sisa pukal, sisa taman dan sisa kitar semula.

“JMB yang tidak mematuhi sub peraturan (1), (2), (3), (5) atau (6) di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) dan disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000.

“Kami juga mahu melaksanakan program JMB #BeraniUbah bersama komuniti untuk mempromosikan amalan Pengasingan Sisa di Punca (Sas),” ujarnya.

Selain itu, dalam memastikan tahap kebersihan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan baik, kata Ummi Kalthum, petugas syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) berperanan me­lakukan kerja-kerja pembersihan mengikut jadual yang ditetapkan.

Selain itu, Alam Flora turut berperanan untuk meninjau kawasan panas (hotspot) agar tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku sebarang bencana alam.

Ummi Kalthum dalam pada itu, menyamakan individu tidak bertanggungjawab sebagai ‘penjenayah hantu’ kerana tindakan mereka yang suka membuang sampah tanpa disedari orang lain.

“Macam perangai hantu, sudah buang hilang, buang sampah senyap-senyap, waktu orang lain tak perasan, buat salah tidak mengaku pula,” ujarnya.

PENGUAT KUASA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menampal notis semasa Operasi Awas CII di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur.

Jelasnya, SWCorp kini telah mengadakan 281 program kesedaran menerusi kempen serta pengumuman awam sepanjang 2022 dan terbaharu projek The Lost Food diperkenalkan bagi mendidik orang ramai untuk tidak membazir makanan yang sebenarnya masih boleh dimakan.

“Sebanyak 17 juta tan makanan yang masih boleh dimakan telah dibazirkan rakyat Malaysia tahun lalu dan jumlah tersebut menyamai keperluan makanan 12 juta orang sehari.

“Di Wilayah Persekutuan sahaja, sekitar 341,760 tan sisa makanan dibuang begitu sahaja, sedangkan ia boleh memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan.

“Menerusi projek ini, SWCorp mengarahkan setiap peniaga untuk menghantar lebihan makanan termasuk sayur-sayuran tidak dijual ke pusat pengumpulan sisa makanan yang telah disediakan,” jelasnya.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir besar dijangka pertengahan November ini, SWCorp telah mengarahkan kesemua lebih 30 pegawai bertanggungjawab segera membahagikan tugas terhadap pasukan masing-masing dalam memantau 32 ‘hotspot’ sekitar ibu negara.

“Kerjasama dengan Alam Flora dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan berisiko mengalami banjir besar selain lokasi pembuangan sampah dan pembersihan longkang turut dipertingkatkan. Kesemua ini ada yang dibuat mengikut jadual dan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Bagaimanapun, saya meminta orang ramai, penduduk Malaysia tidak kira warga tempatan atau asing, patuh kepada peraturan, bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan, jaga kebersihan negara ini bersama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI