fbpx

Pekerja sektor 3D akan dilatih, tingkat kecekapan pengurusan sisa pepejal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. Noor Azman (tiga kanan) melancarkan gimik Inisiatif Digitalisasi Industri Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara di Kementerian KPKT, Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melatih seramai 18,289 orang tenaga mahir dalam kalangan rakyat tempatan yang terlibat sektor pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) untuk lebih cekap dan terlatih bagi pengurusan sisa pepejal.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan perancangan jangka panjang dalam meningkatkan perkhidmatan industri berkenaan bagi menjadi contoh kepada negeri-negeri belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya, kementeriannya merancang untuk mengadakan program pembangunan kompetensi kepada warga kerja yang terlibat dengan pengurusan sisa pepejal dengan pemberian kad kompetensi pekerja.

“Kad kompetensi merupakan suatu pengiktirafan bagi pekerja di lapangan dapat dipastikan menerima latihan yang betul dan mempunyai pemahaman asas mengenai Akta 672 serta peraturan-peraturan di bawah akta tersebut.

“Pelaksanaan program pembangunan kompetensi tersebut akan dibangunkan secara bersepadu dan holistik dengan kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian.

“Ia seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan i-KPKT serta agensi-agensi lain berdasarkan keperluan kelak,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian, Datuk M. Noor Azman Taib pada Majlis Pelancaran Inisiatif Digitalisasi Industri Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negara, di sini hari ini.

Kor Ming berkata, dengan adanya inisiatif- inisiatif yang lebih proaktif itu, ia dapat menggalakkan pemain industri untuk menjadikan pengurusan sisa pepejal sebagai satu bidang profesional dan berdaya saing.

Dalam pada itu, kementerian berharap program pembangunan kompetensi seperti ini dapat meningkatkan pengetahuan lebih 26,000 pekerja-pekerja industri khususnya industri pengurusan sisa pepejal.

“Ia supaya sasaran untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan melalui pekerja yang berkualiti dan berkemahiran dapat dicapai menjelang tahun 2030,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan juga, turut menyaksikan kolaborasi strategik antara JPSPN, SWCorp dan Kumpulan Affin dalam melengkapkan proses digitalisasi pelesenan di bawah kementerian itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI