KONSEP rekaan pintar sering dikaitkan dengan pembangunan kediaman moden, bangunan pejabat dan premis komersial yang menekankan aspek kecekapan, keselesaan serta pengurusan berasaskan teknologi.
Namun kini, seiring kemajuan inovasi global, pendekatan tersebut tidak lagi terhad kepada ruang berorientasikan ekonomi dan kediaman semata-mata.
Sebaliknya, Arab Saudi telah mencipta sejarah apabila membina masjid pertama di dunia dengan menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D).
Diberi nama Masjid Abdulaziz Abdullah Sharbatly, rumah ibadat terletak di Jeddah itu menjadi simbol pertembungan antara teknologi moden dan seni bina Islam.
Menurut seorang usahawan wanita, Wajnat Abdulwahed, nama masjid tersebut merupakan penghormatan ikhlas kepada Allahyarham suaminya, Abdulaziz Abdullah Sharbatly.
“Idea membina masjid cetakan 3D pertama di dunia ini merupakan dedikasi dan sedekah jariah kepada arwah suami saya.
“Sebagai usahawan, saya ingin menyumbang kepada negara menerusi pengenalan teknologi moden seperti ini.
“Monumen ini meletakkan Arab Saudi antara negara perintis dalam penggunaan teknologi pembinaan masa depan,” katanya.
Kejayaan pembinaan masjid tersebut secara tidak langsung menjadi bukti bahawa kecanggihan teknologi masa kini boleh dimanfaatkan secara beretika dan mengekalkan warisan budaya.
Menurut portal Time of Riyadh, masjid seluas 5,600 meter persegi itu merupakan sebahagian daripada portfolio Perumahan Negara di Arab Saudi.
Dibangunkan menerusi teknik pembinaan yang unik, masjid tersebut menggunakan empat pencetak gergasi daripada syarikat China, Guanli bagi menyempurnakan struktur binaan.
Menerusi teknologi itu, tempoh pembinaan hanya memakan masa sekitar enam bulan dengan pengurangan sisa bahan binaan sehingga 90 peratus.

“Terletak di pinggir bandar Al Jawhara di Laut Merah, masjid ini telah menjadi mercu tanda kerana menara direka bentuk dengan gaya tersendiri.
“Reka bentuk masjid ini juga menitikberatkan soal pencahayaan semula jadi yang boleh masuk melalui tingkap.
“Selain rekaan menara yang menjadi tarikan, masjid ini juga memiliki halaman terbuka bagi memuatkan lebih ramai jemaah untuk waktu solat seperti solat Jumaat dan tarawih pada bulan Ramadan,” katanya.
Dari sudut teknologi, kaedah yang digunakan dikenali sebagai 3D concrete printing iaitu proses mencetak struktur bangunan menggunakan campuran konkrit khas secara lapisan demi lapisan.
Mesin pencetak 3D bersaiz besar digerakkan oleh sistem kawalan berkomputer yang membaca pelan digital bangunan, sebelum menterjemahkan kepada bentuk fizikal dengan ketepatan tinggi.
Campuran konkrit yang digunakan telah diformulasikan agar tahan pada suhu tinggi, kelembapan serta memenuhi piawaian kekuatan struktur ditetapkan oleh Arab Saudi.
Proses pembinaan bermula dengan penyediaan model digital 3D yang terperinci, merangkumi reka bentuk dinding, susun atur ruang solat dan elemen struktur asas.
Setelah reka bentuk dimuktamadkan, data tersebut dimasukkan ke dalam sistem pencetak 3D, sebelum kerja mencetak dilakukan terus di tapak pembinaan.
Kaedah itu menghapuskan keperluan penggunaan acuan tradisional serta mengurangkan kerja konkrit manual yang lazimnya memakan masa lama.
“Teknologi binaan cetakan 3D membolehkan setiap komponen struktur dibina dengan ukuran konsisten dan seragam.
“Ini dapat mengurangkan risiko kesalahan manusia serta memastikan kestabilan bangunan dalam jangka panjang.
“Ketepatan amat penting dalam pembinaan masjid kerana monumen ini memerlukan orientasi kiblat tepat, susun atur ruang solat selesa serta keselamatan jemaah,” lapor Arab News.
Beralih kepada rekaan dalaman masjid, teknologi cetakan 3D berjaya mencipta lengkungan dinding yang sangat rumit dan hampir mustahil dilakukan oleh manusia terutama dalam tempoh masa singkat.
Tingkap besar pula diletakkan secara strategik supaya pada waktu siang, dewan solat dapat diterangi sepenuhnya oleh cahaya semula jadi.
Sementara itu, bahagian dalam masjid pula didominasi oleh warna putih agar kelihatan lebih sederhana, suci dan bersih.
Bagi hiasan dinding masjid pula, kaedah potongan laser digunakan untuk menghasilkan corak geometri, khususnya pada logam seperti aluminium atau bahan komposit.
Biarpun menggunakan teknologi moden, namun beberapa proses pembinaan masih menggunakan sentuhan manusia.
Misalnya, dalam kerja-kerja memasukkan tetulang besi (rebar) dalam rongga dinding, pemasangan kabel elektrik, paip air, bingkai pintu dan tingkap.
Secara keseluruhannya, pembinaan Masjid Abdulaziz Abdullah Sharbatly menjadi bukti bahawa teknologi moden mampu dimanfaatkan secara berkesan dalam pembinaan rumah ibadah tanpa menjejaskan nilai spiritual, fungsi keagamaan serta identiti seni bina Islam.














