fbpx

Alam Flora agih 1,500 bubur lambuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. ZALIHA mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai pada program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk 2024 di AEON Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin.

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha mengurangkan pembua­ngan sampah dan pembaziran makanan, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengadakan ini­siatif pengagihan bubur lambuk menggunakan bekas boleh diguna se­mula kepada penduduk di Wangsa Maju, di sini kelmarin.

Bertempat di Pusat Kitar Semula Pandu Laju (DTRC), AEON Big Wangsa Maju, seba­nyak 1,500 bekas bubur lambuk dan 100 beg guna semula diagihkan bertujuan bagi menggalakkan penggunaan semula bekas makanan untuk dibawa sendiri ke bazar Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Saffian Ghazali berkata, ia merupakan usaha kecil pihaknya untuk mencetuskan tabiat membeli-belah yang le­bih lestari dan positif terhadap alam sekitar dengan cara me­ngurangkan penggunaan beg plastik secara sepenuhnya.

Ujar beliau, objektif lain program pengagihan bubur lambuk itu juga bertujuan memperkenalkan kepada masyarakat setempat tentang DTRC Wangsa Maju yang baru dibuka bermula September lalu.

“Selain memberikan ke­sedaran penggunaan bekas yang boleh diguna semula, kita juga mahu masyarakat sekeli­ling tahu ada pusat kitar semula di kawasan mereka.

“Masyarakat boleh datang ke sini dan menjual setiap jenis barang kitar semula mengikut kadar yang ditetapkan. Bukan sahaja kertas, tin, minyak masak malah sisa elektronik juga boleh dijual di sini.

“Kadar kitar semula semasa kita di sini baru mencecah 30 peratus dan kita harapkan lagi ramai orang yang datang khususnya peniaga-peniaga bazar untuk menjual semula minyak masak mereka,” katanya selepas program Kongsi Rezeki Bubur Lambuk 2024 di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

DR. ZALIHA (dua dari kiri) bersama Adam Saffian (tiga dari kiri) mendengar penerangan mengenai Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC), AEON Big Wangsa Maju, Kuala Lumpur kelmarin. – SHIDDIEQIIN ZON

Turut hadir pada program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Per­sekutuan), Dr. Za­liha Mustafa.

Pada program itu, Dr. Zaliha dibawa meninjau dan diberi pene­rangan tentang DRTC Wangsa Maju selain menyaksikan sendiri orang ramai datang menjual barang-barang untuk dikitar semula.

Walaupun dalam keadaan cuaca tidak mengizinkan, Dr. Zaliha juga berkesempatan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang hadir memeriahkan program itu.

Mengulas lanjut, Adam Saffian berkata, bubur lambuk yang ­diagihkan dalam bekas boleh guna semula itu bermatlamat untuk mengelakkan pembelian secara berlebihan yang boleh mengakibatkan pembaziran serta peningkatan jumlah sisa di tapak pelupusan.

Katanya, bekas boleh guna semula tersebut wajar digunakan orang ramai untuk berjimat cermat supaya tidak membeli makanan berlebihan sehingga mengikut hawa nafsu.

“Bulan Ramadan ini memang orang akan pergi bazar dan ber­belanja berlebihan. Sebab itu banyak sisa-sisa terbuang di tapak pelupusan. Jadi kepada pembeli, beli apa yang perlu sahaja.

“Katakanlah secara purata anda guna tiga beg plastik sehari ketika membeli makanan sepanjang Ramadan. Kalau gantikan dengan bekas makanan, sebanyak 90 beg plastik dan pek polisterin dalam tempoh sebulan dapat dikurangkan daripada dibuang ke tapak pelupusan.

“Para peniaga juga dinasihati jangan melakukan pembaziran, eloklah sekiranya menderma makanan yang tidak habis dijual ke rumah-rumah kebajikan atau golongan yang lebih memerlukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adam Saffian turut memaklumkan, ­khidmat kutipan sampah serta pembersihan akan berjalan seperti biasa semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang nanti.

Katanya, kerjasama orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 amat diperlukan untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan ­masing-masing.

ALAM Flora menyediakan sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk sebelum para petugas mengedarkan kepada orang ramai di Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC), AEON Big Wangsa Maju.

Sementara itu, seorang penduduk setempat, Noriza Mahba, 55, mengakui bekas boleh guna mampu mengurangkan penggunaan beg plastik dalam kehidupan sehariannya.

Ujar jurujual itu lagi, dia se­ring menggunakan bekas boleh guna itu bagi membungkus atau ‘menapau’ makanan dari kedai.

“Bekas boleh guna macam ni bagus sebenarnya, sebab boleh pakai berulang kali. Pergi kedai pun boleh isi lauk-pauk atau barang basah juga boleh diisi dalam ni sebelum disimpan dalam peti ais.

“Alhamdulillah syukur hari ini Alam Flora pun beri bubur lambuk bersama bekas ni untuk kurangkan sisa plastik le­bih-lebih lagi pada Ramadan ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mazura Mohd. Desa, 49, berkata, dia teruja apabila mengetahui Alam Flora mengadakan inisia­tif pengagihan bubur lambuk bersama bekas boleh diguna semula itu.

Ujarnya, pemberian menggunakan bekas tersebut perlu dipergiatkan semua pihak bagi membendung masalah peningkatan sisa pepejal plastik yang semakin tidak terkawal. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI