fbpx

Kutipan sisa pepejal meningkat 3,600 tan metrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kutipan sisa pepejal mencatatkan peningkatan sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan tahun ini

KUALA LUMPUR – Kutipan sisa pepejal mencatatkan peningkatan sebanyak 3,600 tan metrik pada hari ke-20 Ramadan tahun ini berbanding pada tahun 2023.

Jumlah tersebut merangkumi di keseluruhan ketiga-tiga kawasan konsesi di bawah pengurusan Alam Flora iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Adam Saffian Ghazali berkata, makanan tidak dihabiskan atau diusik yang dijual di bazar-bazar Ramadan merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kutipan sisa selain daripada plastik dan polistren bungkusan makanan.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan dapat dilihat menerusi kenaikan 2,800 tan metrik sampah yang dibawa ke tapak pelupusan dalam sehari, berbanding 2,500 tan metrik sampah pada hari biasa bagi kawasan Kuala Lumpur yang mana, mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi di negara ini.

“Menurut statistik dari tahun 2019 hingga tahun 2024, tren peningkatan kutipan sisa pepejal pada bulan Ramadan adalah seperti yang dijangkakan dan 66 peratus daripada sampah makanan tersebut boleh dielakkan sekiranya orang ramai tahu cara penyimpanan makanan dengan betul serta pembelian secara berhemah,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Alam Flora akan terus melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa mengira masa dan tempat.

“Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan dalam menjaga kebersihan terutamanya di kawasan kediaman masing-masing. Sebagai contoh, sampah yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, kertas dan tin aluminium perlulah diasingkan.

“Ia harus diletakkan dalam beg plastik serta diikat dengan kemas. Ianya diletakkan di tepi tong pada hari kutipan untuk barangan kitar semula selaras dengan program pengasingan sisa di punca anjuran pihak kerajaan,” katanya.

Kerjasama daripada orang ramai untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam untuk berkongsi maklumat tahap kebersihan di kawasan masing masing supaya tindakan susulan yang bersesuaian boleh diambil. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI