fbpx

Alam Flora kutip 3.06 tan sampah pada sambutan Tahun Baharu 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan selepas acara Pertunjukkan Cahaya Soulfest sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Merdeka malam tadi. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3.06 tan sampah dikutip oleh petugas Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) di tiga kawasan sekitar Kuala Lumpur sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 malam tadi.

Operasi yang meliputi tiga kawasan tumpuan awam iaitu di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan di pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) itu dijalankan bermula pada pukul 10 malam dan selesai sekitar pukul 8 pagi.

Pengurus Kawasan Perkhidmatan Kuala Lumpur (Selatan) Alam Flora, Saiful Azim Saad berkata, kutipan sampah di Bukit Bintang adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 1.98 tan.

Katanya, manakala di Dataran Merdeka dan pekarangan KLCC pula, masing-masing mencatatkan kutipan sebanyak 0.19 tan dan 0.29 tan sampah.

Tambah Saiful, pihak Alam Flora telah membuat pelbagai persediaan dari segi operasi pembersihan pada malam tersebut, melibatkan pekerja pengurusan, eksekutif dan penyeliaan.

“Pada malam ini (tadi), sebanyak 128 pekerja pra, pemandu dan kru-kru am digerakkan di tiga kawasan yang kami kenal pasti merupakan ‘hotspot’ pada malam tahun baharu.

“Selain itu, Alam Flora juga telah menyediakan tiga buah jentera kompaktor bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal.

“Kami juga membawa alat pancuran air untuk buat cucian di sekitar kaki jalan, terutamanya di Dataran Merdeka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Merdeka, semalam.

Tambahnya, Alam Flora juga telah menempatkan sebanyak 38 unit tong sampah berkapasiti 660 liter dan 10 unit tong sampah 240 liter di ketiga-tiga kawasan tumpuan.

Saiful berkata, kutipan sampah tahun ini masih lagi berada dalam keadaan yang terkawal, terutamanya di sekitar Dataran Merdeka.

“Jika dilihat, sambutan tahun ini tidak semeriah tahun lalu mungkin disebabkan tiada acara rasmi dijalankan di sini.

“Pada tahun 2021, tiada sambutan tahun baru dijalankan kerana kita masih lagi berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Namun, pada tahun lepas sambutan memang sangat meriah. Mungkin pada tahun ini, orang ramai lebih terarah ke tempat lain yang turut sama meraikan tahun baharu, jadi di sini (Dataran Merdeka) kurang meriah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI