fbpx

Lebih 1,000 individu dapat kerja di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka menawarkan sebanyak 5,500 peluang pekerjaan dari dalam dan luar negeri Melaka.

PETALING JAYA – Seramai 1,102 individu berjaya mendapat pekerjaan, manakala 3,988 yang lain mara ke saringan temu duga peringkat seterusnya menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan berkata, karnival yang dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu juga menyaksikan penglibatan seramai 42 majikan daripada pelbagai sektor.

Penglibatan majikan-majikan itu turut menawarkan sebanyak 5,500 peluang pekerjaan dari dalam dan luar negeri Melaka.

“Selain sambutan yang menggalakkan dengan hampir 6,500 pengunjung hadir ke karnival ini, keistimewaan jelajah karnival pada kali ini juga memperlihat penglibatan aktif majikan dalam sektor bioteknologi yang menawarkan hampir 10 peratus peluang kerjaya daripada keseluruhan jawatan kosong.

“Majikan lain yang turut serta termasuk daripada sektor awam, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), perkilangan, kewangan, peruncitan dan kesihatan,” katanya di sini hari ini.

Selain itu katanya, Perkeso turut mengadakan sesi temu duga terbuka secara ‘walk-in’ pada setiap minggu di semua pejabat Perkeso di seluruh negara dan secara harian di beberapa pejabat Perkeso utama seperti Putrajaya bagi membantu Keluarga Malaysia memperoleh pekerjaan dengan mudah dan cepat.

“Bagi menarik lebih ramai majikan untuk menyertai temu duga terbuka ini, Perkeso turut berbesar hati dan mengalu-alukan mereka yang mempunyai jawatan kosong untuk hadir di mana-mana Pejabat Perkeso Negeri dan menggunakan fasiliti yang disediakan secara percuma seperti tempat temu duga.

“Di samping itu, para majikan juga disaran mendaftar dengan program Jamin Kerja Insentif Penggajian (JKIP) iaitu inisiatif Kerajaan di bawah Bajet 2022 untuk memberi insentif kepada majikan yang membuat pengambilan pekerja kepada kepada golongan sasar seperti penganggur dan golongan rentan,” ujarnya.

Katanya, insentif khas juga disediakan kepada majikan dalam sektor pelancongan yang membuat pengambilan pekerja daripada golongan menganggur untuk sekurang–kurangnya dua bulan.

“Menerusi JKIP, seramai 300,000 Keluarga Malaysia disasarkan untuk dibantu mendapat penempatan pekerjaan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.

“Justeru, para majikan diseru untuk segera mendaftar demi memanfaatkan bantuan kerajaan ini yang menawarkan insentif kewangan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI