KUANTAN – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa untuk menilai keupayaan anak masing-masing di peringkat sekolah rendah.
Mohd. Zalani Md Atan, 62, berkata, sebagai bapa, sudah tentu dia mahu melihat pencapaian anak-anak khususnya dalam peperiksaan besar seterusnya membolehkan dia mencari kaedah yang terbaik bagi membantu mereka berhubung aspek pelajaran.
“Pada pandangan saya, perlu ditekankan mengenai unsur pencapaian supaya anak-anak mempunyai target sewaktu belajar di sekolah.
“Peperiksaan juga penting sebagai satu bentuk galakan agar anak-anak mempunyai fokus untuk mereka mencapai sesuatu keputusan yang cemerlang, bukannya hanya pergi ke sekolah semata-mata,” katanya di sini semalam.

Mohd. Zalani bagaimanapun percaya sistem yang digantikan selepas pemansuhan UPSR dan Ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) adalah untuk memberi penekanan kepada kelebihan yang ada dalam diri anak-anak.
Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak masing-masing tidak leka walaupun peperiksaan besar dihentikan.
Sementara itu, bagi ibu, Noraini Abdullah, 38, pula, peperiksaan besar di peringkat sekolah rendah sememangnya penting dalam memberikan motivasi kepada anak-anak untuk ke sekolah.
Katanya, ketiadaan peperiksaan besar di peringkat rendah menyebabkan anaknya yang kini berusia 11 tahun hanya ke sekolah untuk memenuhi jadual pembelajaran yang disediakan.
“Apa lagi motivasi yang boleh saya berikan untuk dia belajar? Apabila disuruh belajar dijawab tiada lagi peperiksaan. Jadi saya merasakan peperiksaan besar di sekolah rendah begitu penting.
“Kalau tiada keseronokan belajar sekurang-kurangnya masih ada sasaran menyebabkan mereka bersemangat untuk belajar. Apa salahnya diadakan peperiksaan besar kerana ramai generasi dahulu berjaya dan pernah menjawat jawatan besar juga pernah menduduki UPSR,” ujarnya.














