KUANTAN – Pelajar sekolah perlu menunggu selama 10 tahun untuk menduduki peperiksaan besar, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas dua peperiksaan penting iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan pada 2021 dan tahun ini.
Tindakan pemansuhan yang dibuat Kementerian Pendidikan (KPM) itu menyebabkan murid seakan-akan hilang fokus kerana tiada lagi peperiksaan penting yang perlu diberi tumpuan.
Pakar Pendidikan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, terdapat guru yang mengadu kepadanya bahawa ada murid seperti tidak lagi seronok menuntut ilmu.
“Ada pelajar yang tidak datang ke sekolah sebab seperti tiada hala tuju. Sebelum ini, ada peperiksaan, jadi ada pengisian.
“Ibarat seperti kita tanggung guni padi jika penat sekalipun, ada sasarannya. Kalau tanggung guni dan pusing tetapi tidak tahu mana hendak berhenti, boleh rasa penatnya bagaimana,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Anuar, peperiksaan UPSR dianggap begitu penting kerana memberi motivasi kepada murid dan boleh menggantikan keseronokan yang semakin pudar disebabkan penat menelaah.
Jelas beliau, ketiadaan peperiksaan utama juga menyebabkan ada ibu bapa yang kini tidak memberikan lebih tumpuan untuk memastikan anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 secara tergesa-gesa dan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang kurang mantap menjadi isu besar kepada sistem pendidikan negara ketika ini.
“Dalam isu ini, guru-guru juga belum bersedia untuk melaksanakan PBD sepenuhnya dengan bilangan murid yang terlalu ramai dalam kelas, sukatan pelajaran yang banyak dan padat serta tiada autonomi dalam melakukan pentaksiran.

“Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk tujuan peperiksaan dengan PdP untuk pentaksiran berterusan memerlukan pendekatan berbeza.
“Ramai guru yang keliru dan belum mahir dengan perubahan pendekatan pengajaran untuk melengkapkan amalan PBD sepenuhnya.
“Akhirnya keputusan pemansuhan UPSR dan PT3 yang tergesa-gesa dilihat banyak mengganggu fokus pembelajaran murid dan ibu bapa hilang kawalan dalam meningkatkan motivasi pembelajaran anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang pesara guru berkata, UPSR merupakan satu penanda aras penting kepada murid di peringkat sekolah rendah.
Malah, katanya, ketiadaan peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan PT3 di sekolah menengah juga menyebabkan pelajar akan mengalami ‘kejutan’ apabila berdepan dengan satu-satunya peperiksaan yang masih ada iaitu SPM.














