fbpx

Spekulasi penculikan warga Palestin akan ganggu siasatan – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta tidak timbulkan spekulasi berhubung insiden penculikan seorang warga Palestin di ibu negara, baru-baru ini kerana akan menganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, 11 individu sudah pun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat lalu.

Jelas beliau, motif penculikan adalah bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan dan menunggu proses sebutan semula kes pada 15 Disember depan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki warga Palestin diculik menaiki MPV berjaya diselamatkan dalam kejadian di Jalan Yap Kwan Seng di sini pada 28 September lalu.

Rakan mangsa yang berada di lokasi bagaimanapun tidak sempat berbuat apa-apa dan kemudiannya tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sejurus selepas kejadian.

Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

Operasi menyelamatkan mangsa dijalankan telah berjaya menahan 18 individu terdiri daripada lelaki dan wanita warga tempatan serta satu warga Indonesia.

Jumaat lepas pula, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI