fbpx

Terowong Kuantan berjaya ditembusi dua bulan lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan ECRL meraikan kejayaan terowong Kuantan yang berjaya ditembusi lebih awal dua bulan daripada jadual asal.

PETALING JAYA – Terowong Kuantan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 2.8 kilometer telah berjaya ditembusi dua bulan lebih awal dari jadual dan menjadikannya terowong ECRL yang ke-12 melengkapkan proses pengorekan sehingga semalam.

Letupan terakhir di Terowong Kuantan semalam menembusi lapisan akhir kira-kira 1,700 meter daripada portal masuk terowong. 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, kejayaan ini adalah hasil daripada anggaran 4,961,700 jam masa bekerja dengan perlaksanaan kaedah gerudi dan letup untuk menembusi batu granit (weathered granite).

Menurut beliau, kerja-kerja pengorekan Terowong Kuantan yang merupakan terowong tunggal itu telah mencapai tahap kemajuan 95.08 peratus sebelum penembusan semalam sementara lapisan kekal terowong telah mencapai kemajuan memberansangkan iaitu 2,463.05 meter. 

Terowong Kuantan sepanjang 2.8 km ini agak unik kerana ia melintasi dua buah negeri di Pantai Timur dengan anggaran 976 meter bahagian terowong di negeri Pahang dan 1,890 meter terletak di Terengganu. 

“Hasil daripada komitmen dan kerjasama daripada  170 kakitangan ECRL di semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja terowong, telah membawa kepada penembusan Terowong Kuantan lebih awal dari jadual. 

“Kami juga berbangga dengan usaha tenaga kerja ECRL kerana berjaya melakukan kerja-kerja pengorekan tanah dan batuan sedalam 380,000 meter padu secara selamat dengan pergerakan tanah yang minima,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Pembinaan Terowong Kuantan membolehkan laluan kereta api ECRL memenuhi tahap maksima kecerunan iaitu 0.9 peratus serta mengelakkan penebangan terbuka di Hutan Simpan Bukit Galing.

Kerja-kerja pengorekan Terowong Kuantan yang dimulakan pada bulan Mac 2018 terpaksa diberhentikan seketika pada bulan Julai tahun yang sama kerana rundingan semula projek ECRL di antara Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China. 

Kerja-kerja pengorekan terowong disambung selepas pelancaran semula projek ECRL pada bulan Julai 2019.

Sebagai rekod, terowong pertama Projek ECRL yang berjaya ditembusi enam bulan lebih awal adalah Terowong Paka sepanjang 1.1 km di Terengganu pada bulan April 2021. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI