PERMINTAAN tinggi terhadap bekalan ayam menyebabkan ada peniaga yang mengambil kesempatan.- GAMBAR HIASAN

Kaut untung dua kali jual ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Di sebalik pelbagai masalah yang timbul melibatkan harga siling dan bekalan yang tidak menentu, ada segelintir peniaga pula dikesan mengambil kesempatan untuk meraih untung atas angin dengan cara menjual semula bahagian-bahagian ayam yang telah dibayar oleh pengguna.

Situasi ini biasanya berlaku ke atas pengguna yang membeli bahan mentah berkenaan di pasar-pasar basah mahupun pasar borong yang menawarkan khidmat memotong ayam.

‘Modus operandi’ peniaga berkenaan adalah dengan meng­asingkan bahagian-bahagian seperti kaki, tongkeng, hati dan pedal ketika proses memotong, walaupun bahagian berkenaan telah dibayar oleh pembeli untuk harga seekor ayam.

Tanpa memaklumkan kepada pembeli, peniaga culas ini kemudian menjual semula bahagian tersebut kepada pengguna lain.

Bahagian ayam seperti tongkeng dan kaki mempunyai permintaan tinggi dan menjadi buruan peniaga makanan.

Bahagian tongkeng sahaja bia­sanya dijual pada harga sehingga RM8 sekilogram.

Meskipun isu tersebut dianggap terpencil dan remeh, namun tindakan segelintir peniaga yang melakukan ‘kerja’ berkenaan adalah tidak wajar selain menafikan hak pembeli.

Di Bentong, Pahang, seorang pengguna dikenali Ahmad Radzi, 41, berkata, dia berasa kesal de­ngan sikap segelintir peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengambil bahagian-baha­gian ayam yang telah dibayar oleh pembeli.

Malah katanya, tindakan penjual berkenaan yang menjual semula bahagian ayam berkenaan dianggap seperti perbuatan mencuri.

“Saya ada beli ayam di sebuah kedai dan saya membayarnya terlebih dahulu sebelum membawanya ke tempat pemotongan.

“Semasa proses memotong, saya lihat tukang potong selamba ambil bahagian tongkeng ayam dan melonggokkannya di suatu tempat tanpa bertanyakan kepada saya.

“Lebih menyakitkan hati apabila longgokan tongkeng ayam itu kemudiannya dijual semula kepada orang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Ahmad, peniaga seharusnya terlebih dahulu berta­nyakan kepada pembeli sama ada mahukan bahagian ayam berke­naan atau tidak memandangkan mereka telah membayarnya.

Seorang lagi pembeli, Norani Abdullah, 35, berkata, dia juga sering kali berasa tertipu apabila bahagian tertentu ayam diambil oleh peniaga selepas ayam ber­kenaan dipotong.

“Saya harap pihak peniaga dan juga pihak berkuasa dapat memberi perhatian kepada isu tersebut yang jelas menipu pengguna.

“Walaupun nampak kecil, ia adalah hak pengguna yang jelas dicuri. Kalau mahupun, tanyalah dahulu pelanggan.

“Saya pernah membeli dua ekor ayam dan kemudian menghantar ke tempat pemotongan. Sebaik sampai rumah, saya dapati kaki, tongkeng dan pedal sudah tiada,” ujarnya.

Di Klang, Selangor, seorang lagi pengguna dikenali Hazli, 42, berkata, perkara berkenaan ­biasanya berlaku di pasar-pasar basah iaitu ketika orang ramai sedang berebut untuk mendapatkan bekalan ayam.

“Biasanya pengguna tidak akan periksa bahagian-bahagian ayam yang telah dipotong menyebabkan ada peniaga yang mengambil kesempatan mengambilnya.

“Lagipun, permintaan terhadap bahagian-bahagian ayam terutama kaki dan tongkeng sangat tinggi. Ramai yang mencari­nya terutama peniaga makanan,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan pengguna agar lebih berhati-hati dan lebih bijak ketika berurusan dengan peniaga ayam yang suka mengambil kesempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN