BEBERAPA pelajar dan pensyarah yang berada di dalam van berwarna putih itu dilihat sibuk mengendalikan beberapa ekor kucing yang memerlukan rawatan.
Dikenali sebagai klinik bergerak dalam kalangan masyarakat, van atau kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diubah suai menjadi sebuah klinik itu merupakan inisiatif tenaga pengajar daripada Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM).
Siapa sangka, klinik yang pernah digerakkan untuk misi menyelamat haiwan yang terkesan dengan banjir sekitar Lembah Klang penghujung tahun lalu kemudian dijadikan platform untuk terus membantu mendidik masyarakat dan merawat haiwan yang memerlukan.
Bukan sahaja menyediakan pemeriksaan kesihatan dan rawatan asas secara percuma, pasukan klinik bergerak itu turut mengadakan pelbagai program kesedaran kepada masyarakat, terutamanya mengenai kaedah penjagaan haiwan yang betul.
Semua ini dilakukan oleh pasukan pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Perubatan Veterinar dalam memastikan kebajikan haiwan belaan mahupun terbiar mendapat penjagaan sewajarnya.
Timbalan Dekannya, Prof. Dr. Jalila Abu berkata, cetusan idea klinik veterinar bergerak itu sebenarnya diketuai Pensyarah Kanannya, Dr. Farina Mustaffa Kamal dan Ketua Jabatan, Prof. Madya Dr. Nurul Hayah Khairuddin.

Ia bagaimanapun turut digerakkan dengan beberapa tonggak penting lain termasuk Pegawai Perunding Hospital Veterinar Universiti (UVH), Prof. Madya Dr. Chen Hui Cheng.
“Van ini pada awalnya digunakan untuk tujuan pengajaran memandangkan kami di sini sebagai perunding UVH dan memahami keperluan akses ke lokasi atau memudahkan ke kawasan perkampungan dan pedalaman untuk pengajaran serta rawatan.
“Bagaimanapun, sekitar awal tahun lalu, van ini digunakan oleh Dr. Farina untuk tujuan penyelidikan. Pada waktu itu, beliau mengkaji jangkitan Covid-19 dalam kalangan kucing.
“Kemudian, van ini digerakkan untuk tujuan pameran dan pengajaran dan ia berdasarkan jemputan sehingga kini. Jika pihak universiti menjalankan program pengembangan veterinar, kami akan turut serta dengan sasaran utama mahu mendidik kaedah penjagaan haiwan yang betul,” katanya kepada K2.
Pada penghujung tahun lalu, apabila beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda bah, van tersebut digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu haiwan-haiwan yang turut menjadi mangsa banjir.
Menerusi Misi Kecemasan dan Perubatan Haiwan Terkesan Banjir, sekumpulan pelajar tahun akhir dan yang terlibat dalam Projek Pengkasian Haiwan Terbiar (Prokasih) bersama beberapa orang pensyarah bergerak ke lokasi sasaran selama seminggu berturut-turut dengan van tersebut.
Di situlah, pasukan ini beraksi menyumbang kepakaran yang mereka miliki dalam usaha menyelamatkan haiwan-haiwan yang tidak bernasib baik pada ketika itu.
Bercerita lanjut, menurut Dr. Farina, ketika banjir melanda beberapa kawasan sekitar Lembah Klang, banyak haiwan yang mengalami kecederaan dan jangkitan pernafasan.
Bukan itu sahaja, ada juga yang hanyut ditenggelami air.

Haiwan-haiwan itu juga ada yang mengalami tekanan dan trauma.
Berkesempatan membuka klinik veterinar bergerak di dua lokasi banjir, pasukan ini berjaya memberi rawatan kepada 746 ekor haiwan di Sri Muda, Shah Alam, manakala 850 ekor lagi di Nanding, Hulu Langat, Selangor.
“Seperti manusia, haiwan juga perlu mendapat perhatian dan kami terpanggil untuk membantu haiwan terjejas. Rawatan yang ditawarkan klinik ini seperti yang telah dipersetujui dalam jawatankuasa iaitu rawatan asas seperti vaksin, pemberian ubat cacing, kutu dan pemeriksaan biasa.
“Jenis haiwan yang dirawat di sini adalah pelbagai dan tidak tertumpu kepada satu-satu jenis haiwan semata-mata, apa sahaja yang dibawa kami akan periksa. Jika ia memerlukan rawatan rapi, barulah haiwan tersebut dihantar untuk menjalani rawatan di hospital.
“Mengambil contoh kes banjir di Hulu Langat yang mana seekor anjing mengalami luka teruk sehingga berulat. Disebabkan rawatan tidak boleh dilakukan di van bergerak, anjing itu dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan lanjut sehingga sembuh,” kongsinya.
Pun begitu, menurutnya lagi, tidak tertumpu kepada rawatan semata-mata, misi utama van bergerak itu masih lagi kepada mahu memberi pendedahan dan mendidik orang awam tentang vaksin dan pengkasian dalam kalangan haiwan.
Tambahan pula, buat masa ini van tersebut digerakkan secara berkala mengikut peruntukan dana yang diterima, selain program mengikut keperluan masyarakat.

Sementara itu, Dr. Nurul Hayah pula berkata, kewujudan van tersebut dilihat sebagai ikon fakulti veterinar yang membolehkan lebih ramai masyarakat maklum akan fungsi dan peranan fakulti tersebut.
Ia sekali gus membolehkan mereka memanjangkan lagi program pengembangan veterinar dengan masyarakat luar terutamanya dalam perkara-perkara melibatkan kesejahteraan haiwan.
“Kita hidup dalam komuniti yang pelbagai, ada yang prihatin dan sebaliknya. Jadi, menerusi platform inilah, kita boleh menganjurkan lebih banyak program pengembangan.
“Pengembangan veterinar ini luas perspektifnya dan salah satu daripadanya yang mahu kami tekankan adalah program penjagaan dan pengkasian haiwan kesayangan mahupun terbiar, kerana itulah antara perkara yang penting dan berlaku sepanjang hayat.
“Orang awam perlu faham, menjaga haiwan ini perlu datang dengan tanggungjawab dan ada tata caranya. Justeru, menerusi pengembangan ini, kami boleh membuat perkongsian untuk memberi pendedahan dan pemahaman lanjut kepada individu mengenai hal-hal berkaitan haiwan,” katanya.
Mengambil contoh program pengkasian, jika masyarakat sedar kepentingannya, ia dapat mengelakkan kucing terbiar daripada bertambah.
Seperti di UPM sendiri, mereka menganjurkan program Prokasih iaitu projek perkasian haiwan terbiar yang merupakan inisiatif pelajar sejak 2008.
Bagaimanapun, melihatkan manfaat dan sambutan diterima daripada masyarakat sekeliling, program tersebut diteruskan sehingga ke hari ini oleh pensyarah dan para pelajarnya.
Menurut Dr. Chen Hui Cheng, inisiatif tersebut bertujuan menjaga kebajikan haiwan terutamanya haiwan terbiar. Salah satunya dengan program-program yang mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Kita pergi ke sekolah dan komuniti. Kita sebarkan kepada orang awam serta pelajar bagaimana cara penjagaan haiwan yang betul, kerana sekarang banyak sangat isu berkaitan haiwan terbiar. Jadi, sebagai salah satu cara yang boleh dilakukan adalah dengan memberi pendedahan, terutamanya tentang program kasi.
“Ada yang bertanya adakah dengan kasi itu ia akan menyebabkan haiwan kesakitan? Sebenarnya tidak, kerana haiwan dibius terlebih dahulu. Perkara inilah yang perlu didedahkan kepada masyarakat,” ujarnya.














