fbpx

Mahkamah: Langgar injunksi Mareva, Jho Low, bapa dihukum penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low (kiri) dan bapanya dipenjara.

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana menghina mahkamah dengan melanggar injunksi Mareva.

Injunksi Mareva adalah perintah sementara yang mengekang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz mengeluarkan waran komital itu selepas dua beranak tersebut gagal mematuhi injunksi Mareva yang diperoleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam saman berjumlah AS$3.7837 bilion terhadap mereka dan empat pihak lain.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menyatakan tempoh pemenjaraan bagi Jho Low dan Hock Peng.

Semasa prosiding, mereka masih tidak ditemui pihak berkuasa.

Mahkamah sebelum ini menetapkan hari ini untuk prosiding pendengaran permohonan 1MDB agar kedua-dua mereka dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi Mareva.

Sementara itu, peguam yang mewakili 1MDB, Siva Kumar Kanagasabai mengesahkan keputusan permohonan syarikat pelaburan strategik negara itu agar Jho Low dan bapanya dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana melanggar terma injunksi.

Menurutnya, mereka akan dihukum penjara sehingga tindakan menghina mahkamah dibersihkan.

Dalam prosiding 25 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan ahli perniagaan Jho Low dan Hock Peng mendedahkan lokasi terkini dan harta yang dimiliki mereka.

Pada 15 Mac lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi Mareva terhadap dua beranak itu yang menghalang mereka melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$1.03 bilion selepas membenarkan permohonan 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified Investment Company Limited.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited memfailkan saman AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya, ibunya, Puan Sri Goh Gaik Ewe, kakaknya, May Lin, adik lelakinya, Taek Szen serta rakan sekutunya, Eric Tan Kim Loong.

Menurut dokumen mahkamah, Hock Peng dihalang daripada mengalihkan, melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia berjumlah AS$401.5 juta.

Injunksi itu juga mengehadkan Jho Low dan bapanya mengeluarkan wang tidak melebihi RM20,000 sebulan setiap seorang, yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup serta perbelanjaan guaman.

Sekiranya memerlukan lebih daripada jumlah itu, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Jho Low dan bapanya mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung aset mereka pada nilai jumlah sama, sama ada di dalam atau di luar negara, di bawah namanya sendiri atau tidak dan milikan secara tunggal atau bersama defendan lain.

Mereka hendaklah memberikan nilai, lokasi serta segala maklumat aset dan maklumat itu perlu disahkan melalui suatu afidavit dan disampaikan kepada peguam plaintif pertama dan kelima dalam masa 14 hari selepas perintah tersebut disampaikan kepada peguam mewakili dua beranak berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI