fbpx

PRU15 : Tengku Zafrul dedah sebab sertai BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (tengah) ketika menghadiri majlis pelancaran jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Selangor, hari ini

KUALA SELANGOR – Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan beliau memilih bersama Barisan Nasional (BN) kerana meyakini perjuangan parti itu dalam membela rakyat.

Bendahari BN Selangor yang dilantik pada Ogos lalu itu turut mendedahkan, beliau mendapati hanya UMNO dan BN mampu mencipta kestabilan politik mahu pun ekonomi buat negara.

“Bagi ahli politik, ia mungkin ada ‘thrill’ (cabaran) apabila banyak perubahan berlaku dalam politik, namun rakyat di luar sana hanya mahu kestabilan dan memfokuskan fokus dasar untuk rakyat, bukan politik diri sendiri.

“Saya berjanji cuba sebaik mungkin membantu UMNO kembali menjadi kerajaan yang stabil untuk Selangor dan negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Selangor di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat berbeza berbanding PRU sebelum ini atas pelbagai faktor termasuk pengundi baharu dan muda yang ramai ketika ini.

“Selain itu, rakyat mempunyai pilihan politik yang pelbagai berbanding BN melawan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Faktor ekonomi dunia tidak stabil juga memberi impak kepada ekonomi rakyat dan pilihan undi mereka,” ujarnya.

Tambah Tengku Zafrul, penggunaan ‘big data’, kempen media sosial dan inti pati manifesto antara kaedah penting menarik sokongan pengundi baru.

“Jika dilihat sudut positif, ia bermakna kita mungkin menang secara mutlak di peringkat Persekutuan walaupun kini ada tiga atau empat penjuru.

“Selain itu, jika tepat strategi dan ramuannya, tidak mustahil kerusi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor beralih kepada kerajaan kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, lima daripada 22 Parlimen di Selangor sudah melancarkan jentera bagi menghadapi PRU15.

Menurut beliau, selebihnya dijangka selesai melancarkan jentera masing-masing dalam tempoh terdekat.

“Saya meminta semua kawasan Parlimen smelancarkan jentera pilihan raya bersama dengan komponen BN. Ia bagi memastikan kebangkitkan gelombang biru itu dapat dirasai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI