fbpx

Pengajian gagal, cinta putus, kini sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Disebabkan terlalu tertekan, Faiz turut kehilangan teman wanita yang amat disayanginya. – Gambar hiasan

Siapa yang mahu diri menghidap penyakit mental seperti tekanan melampau dan skizofrenia, namun itulah yang berlaku kepada Faiz (bukan nama sebenar) menyebabkan dia begitu sedih dan menderita.

Faiz disahkan menghidap major depressive disorder (MDD) dan juga skizofrenia ketika baru menginjak usia 22 tahun.

Tekanan melampau yang dihadapinya ketika melanjutkan pelajaran di sebuah negara di Asia Barat menjadikan lelaki itu sentiasa murung, sekali gus menjejaskan kesihatan mentalnya.

Ujar anak kedua daripada lima beradik itu, dia teruja apabila dapat menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran di sebuah universiti terkemuka dunia, membawa 1,001 harapan untuk bergelar doktor suatu hari nanti.

“Saya masih ingat, keterujaan saya ketika mulai tiba di negara yang belum pernah saya kunjungi itu dan tidak sabar mahu memulakan fasa baharu dalam hidup.

“Namun, siapa sangka, saya diuji dengan masalah pelajaran dan juga percintaan yang menyebabkan saya mengalami kemurungan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, dia mempunyai seorang kekasih hati iaitu Dini (bukan nama sebenar) yang ketika itu menuntut di sebuah universiti di tanah air.

Hubungan yang bermula dengan persahabatan itu akhirnya menerbitkan bibit-bibit cinta dan Faiz mengakui amat menyayangi Dini serta berniat mahu berkahwin dengan gadis itu.

“Walaupun saya tahu ketika itu saya masih muda, namun saya cukup sayangkan Dini dan bersungguh-sungguh mahu mengahwininya,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, dia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, namun nasib tidak menyebelahinya apabila keputusan peperiksaan yang teruk menyebabkan Faiz digantung pengajian.

Akibatnya, dia tidak lagi menerima biasiswa dan terpaksa bekerja di sebuah negara asing demi untuk menyara kehidupannya.

SELEPAS gagal dalam pengajian di universiti luar negara, Faiz mengalami kemurungan hingga disahkan menghidap sakit mental. – Gambar hiasan

Perkara itu menjadikan Faiz semakin letih dan terbeban dan akhirnya merenggangkan hubungannya dengan Dini.

“Saya sering memarahi Dini, menyebabkan dia berkecil hati dan seterusnya mulai menjauhkan diri.

“Sikap saya yang kerap menyalahkannya kerana tidak memahami kesusahan saya akhirnya menyebabkan Dini memutuskan hubungan kami,” katanya.

Dek kerana ego, Faiz langsung tidak memujuk gadis itu atau berusaha untuk memulihkan hubungan mereka.

Perpisahan dengan Dini menyebabkan Faiz semakin tertekan dan ini menjejaskan lagi kesihatan mentalnya.

Dia mulai mendengar suara-suara halus dan selepas diperiksa, doktor mengesahkan dia menghidap skizofrenia.

Faiz kemudian dibawa pulang ke tanah air kerana gagal menyambung pengajian dan mulai menjalani rawatan.

Faiz bagaimanapun kesal kerana kepulangannya bagai tidak disukai bapanya kerana lelaki itu benar-benar berharap, anaknya itu akan menjadi doktor dan mengubah nasib mereka sekeluarga.

“Keluarga saya bukanlah orang senang dan abang sulung pula hanya bekerja kampung. Maka sebab itulah, saya menjadi harapan keluarga untuk mengubah nasib mereka.

“Namun siapa sangka, saya akhirnya diuji Allah dengan penyakit mental yang menyebabkan saya gagal menghabiskan pengajian dan kini mendapat kad orang kelainan upaya (OKU) yang menandakan saya tidak ‘sihat’ untuk bekerja,” ujarnya.

Kini, Faiz hanya bergantung hidup dengan bekerja sebagai seorang pereka grafik sambilan dan adakalanya dia turut membantu melakukan kerja-kerja landskap di kawasan kampungnya.

Biarpun kini diuji, Faiz tidak pernah putus asa dan berharap agar dia mampu pulih seperti sediakala dan akan membanggakan bapanya satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI