fbpx

Malapetaka, 5 bilion nyawa melayang jika Putin guna senjata nuklear

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTIN ditemui selepas menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin negara pasca-soviet daripada Komanwel Negara Merdeka (CIS) di Astana kelmarin. - AFP

LONDON – Seorang pakar senjata memberi amaran bahawa penggunaan senjata nuklear Russia oleh Presiden Vladimir Putin akan membunuh sekitar lima bilion umat manusia dan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke Bumi, lapor akhbar Daily Star kelmarin.

Kesan daripada penggunaan senjata pemusnah besar-besaran itu termasuk kematian antara 200 hingga 300 juta umat manusia akibat letupan awal, diikuti kemusnahan tanaman dan penghasilan jelaga radioaktif menutupi langit yang mengakibatkan suhu di seluruh dunia menjunam, manakala berbilion-bilion penduduk berdepan kelaparan.

Amaran itu dikeluarkan oleh pakar bencana nuklear, Paul Ingram selepas Putin mengancam akan menggunakan senjata nuklear sekiranya Barat berdegil mahu campur tangan dalam perang di Ukraine.

Putin sebelum ini mengancam untuk ‘menggunakan semua cara yang ada’ termasuk bom nuklear dalam perang tersebut.

Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan mengakibatkan kematian berbilion-bilion penduduk di seluruh dunia, kata Ingram.

“Semasa Perang Dingin, sering dikatakan bahawa kita mempunyai peluru berpandu nuklear yang mencukupi untuk memusnahkan dunia beberapa kali.

“Realiti sekarang adalah lebih dahsyat. Terdapat lebih 12,000 peledak nuklear di seluruh dunia. Russia sahaja mempunyai hampir 6,000 daripadanya.

Letupan dan radiasi daripada pelancaran senjata nuklear akan menyebabkan kematian 200 hingga 300 juta penduduk di seluruh dunia, katanya.

“Di samping kematian serta-merta, pelancaran senjata nuklear secara bertubi-tubi akan menghasilkan lapisan jelaga radioaktif sehinggakan cahaya matahari tidak dapat sampai ke Bumi selama beberapa tahun.

“Ini akan membawa kepada kematian sehingga lima bilion penduduk di seluruh dunia,” jelas Ingram.

Di sebalik berbilion-bilion kematian, situasi akan menjadi lebih dahsyat apabila Ukraine yang merupakan salah satu daripada ‘jelapang gandum dunia’ musnah. Ini akan mencetuskan krisis kekurangan makanan global, jelas Ingram.

“Tanaman akan gagal di seluruh dunia dan menyebabkan kekurangan makanan. Suhu di seluruh dunia akan menjunam sehingga 16 darjah Celsius.

“Suhu di Ukraine tidak akan melebihi takat beku. Di tengah London, penduduk lebih beri­siko terkena letupan langsung dan radiasi dan tiada siapa akan selamat,” ujar beliau. 

Untuk rekod, populasi manusia di seluruh dunia pada tahun ini adalah sekitar lapan bilion. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI