KAWASAN perairan negeri Utara Semenanjung yang kaya dengan hasil laut bukan sahaja menjadi lubuk rezeki kepada nelayan, tetapi juga menjadi port kaki pancing melepaskan gian.
Bagi Mohamad Rizal Kasim, 47, yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, ia memberi peluang kepadanya untuk memenuhi tuntutan hobinya untuk meneroka pelbagai lokasi memancing yang ada di sekitar negeri itu.
Katanya, dia yang bergelar kaki pancing sejak 25 tahun lalu gemar memburu ikan air masin di perairan Pulau Pinang dan Kedah berbanding memancing ikan air tawar di daratan.
“Saya memang gemar menaiki bot untuk memancing. Biasanya, saya ke kawasan tuas yang
banyak terdapat di sekitar perairan Kedah untuk memburu beberapa spesies ikan gred A seperti tenggiri, kerapu, jenahak, merah dan sebagainya.
“Kadangkala, saya gemar menggunakan teknik apollo untuk memburu ikan bersaiz kecil yang kebiasaannya berenang dalam kawanan.
“Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan menaikkan lebih daripada 100 ekor cencaru bersaiz sederhana menggunakan teknik apollo dan itu antara jumlah terbanyak pernah kami dapat,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohamad Rizal berkata, pengalaman itu diperoleh ketika dia dan lima rakan memancing di perairan Pulau Payar, berhampiran Kuala Kedah pertengahan September lalu.
Katanya, perjalanan dari Jeti Kuala Kedah ke lokasi itu memakan masa lebih satu jam dan biasanya, tekong bot akan membawa pemancing ke kawasan yang mempunyai banyak tuas atau unjam tiruan.
Ujarnya, walaupun hasrat utama mereka adalah untuk memburu ikan-ikan bersaiz besar yang kerap bermain di kawasan tuas, namun mereka tidak menyangka teknik apollo yang digunakan memberikan hasil lumayan.

MOHAMAD RIZAL(tengah) bersama dua rakannya ketika mengail menggunakan teknik apollo di perairan Pulau Payar, Kuala Kedah baru-baru ini.
“Saya percaya, setiap pemancing inginkan mata kail diragut ikan bersaiz besar setiap kali melemparkan umpan ke air, kerana ingin menikmati keseronokan melawan daya tarikan ikan.
“Tetapi bagi saya, memancing menggunakan teknik apollo juga menyeronokkan.
“Walaupun ikan dinaikkan bersaiz kecil, tetapi dapat menaikkan sehingga enam ekor ikan sekali gus, memandangkan kebiasaannya terdapat enam mata kail pada satu set mata apollo,” katanya.
Menurut Mohamad Rizal lagi, memancing menggunakan mata apollo tidak memerlukan teknik dan kemahiran khusus, sebaliknya ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuk yang baru pertama kali memancing.
Ini kerana katanya, pemancing hanya perlu menaikkan tali secara perlahan setelah ikan meragut mata kail yang diikat bersama tali berwarna-warni yang berkilat, kelihatan seperti umpan tiruan.
Saiz mata apollo yang biasa digunakan adalah saiz 8, 9 atau 10 yang lebih sesuai untuk menaikkan ikan bersaiz kecil bagi dijadikan umpan hidup.
Ia bagi memburu ikan spesies pemangsa lebih besar seperti tenggiri, alu-alu dan lain-lain.
“Teknik apollo biasa digunakan oleh pemancing apabila mendapati terdapat sejumlah besar ikan berenang secara berkumpulan berhampiran bot.
“Biasanya, ikan yang banyak berenang secara kawanan di perairan Kedah dan Pulau Pinang terdiri daripada ikan cencaru, kerisi, pelata dan talang pandan.
“Ikan-ikan ini kerap bermain di kawasan tuas sekiranya arus dalam laut agak deras kerana berenang mengikut arus.
“Jika kena pada gayanya, kita boleh menaikkan ratusan ekor ikan dari spesies sama pada satu-satu masa.

IKAN cencaru bersaiz sederhana yang berjaya dipancing menggunakan mata kail apollo.
“Ia sudah cukup untuk memberi keseronokan kepada kaki pancing walaupun saiznya tidak sebesar mana,” ujarnya.
Jelasnya, kesemua cencaru hasil teknik apollo selain beberapa spesies ikan lain seperti jenahak yang diperoleh pada trip memancing itu telah dibahagi sama rata antara sesama mereka untuk dibawa pulang.














