PERASAAN teruja jelas terpancar pada wajah gadis berusia 26 tahun itu saat melangkah masuk ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) di Padang Kemunting, Melaka.
Nur Farhana Syahirah Mohd. Azhar tampak sudah tidak sabar untuk melihat dan mengenali dengan lebih dekat spesies penyu yang mendarat di sepanjang pantai tersebut.
Selepas memasuki kawasan pusat, gadis berasal dari ibu kota itu dibawa melawat galeri yang menempatkan replika serta mendengar taklimat ringkas mengenai spesies-spesies penyu yang terdapat di negara ini.
Kemudian, Nur Farhana Syahirah dibawa melawat kolam menempatkan beberapa ekor penyu karah dewasa dan anak yang baru menetas di belakang bangunan PKPP.
Penyu karah (hawksbill) adalah spesies lebih kecil berbanding penyu agar dan penyu belimbing dengan saiznya antara 70 hingga 90 sentimeter.
Spesies yang turut dikenali sebagai penyu sisik itu merupakan salah satu spesies terancam. Menariknya, negeri Melaka mencatatkan pendaratan penyu karah tertinggi di Semenanjung Malaysia.
“Ini pertama kali saya berpeluang datang ke sini. Jadi, saya rasa amat teruja untuk melihat dan mengenali lebih dekat spesies penyu karah ini.
“Selepas mendengar taklimat di sini juga, baru saya tahu bahawa Melaka bukan saja mencatatkan jumlah pendaratan tertinggi penyu karah, bahkan penyu secara amnya di Semenanjung Malaysia, bukannya Terengganu,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.

Dia diberikan penjelasan bahawa pendaratan tertinggi penyu di Malaysia ialah negeri Sabah, manakala penyu di Terengganu cuma tertumpu kepada penyu belimbing dan agar.
PKPP Padang Kemunting ditubuhkan pada tahun 1990 oleh Jabatan Perikanan dan diuruskan Pejabat Perikanan Negeri Melaka bagi memastikan kelangsungan populasi penyu karah di negara ini.
Ia juga merupakan pusat informasi, pembelajaran, tempat perlindungan, penetasan dan penyelidikan serta tempat rawatan penyu tercedera sebelum dilepaskan kembali ke laut.
Kongsi Nur Farhana Syahirah, lawatannya ke PKPP itu menjadi lebih bermakna apabila berpeluang melihat sendiri proses penetasan telur penyu dan pelepasan anak penyu ke laut menjelang senja.
“Tiada yang lebih bermakna daripada melihat anak-anak penyu ini dilepaskan ke laut selepas menetas. Ia merupakan momen indah yang sukar dilupakan.
“Saya juga sempat membelai anak-anak penyu ini, sebelum merakam gambar sebagai kenangan,” katanya yang juga salah seorang peserta Program Jom Balik Kampung anjuran Tourism Malaysia.
Sementara itu, Ketua PKPP Padang Kemunting, Siti Mastura Daud memaklumkan, tempat tersebut merupakan pusat sehenti bagi penyu karah di Semenanjung.

Jelasnya, ia bukan saja berperanan sebagai pusat pameran, malah berfungsi sebagai tempat perlindungan dan penetasan penyu karah bagi tatapan generasi akan datang.
Siti Mastura menambah, pendaratan penyu karah di Melaka membabitkan pantai sebelah barat terutama di sepanjang 20 kilometer dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi.
“Dengan keadaan pantai berpasir halus dan diselang-seli pokok bakau, kawasan pantai di sini sering menjadi destinasi pendaratan penyu karah bertelur.
“Antara lokasi tumpuan penyu ini adalah Padang Kemunting, Pasir Gembur, Balik Batu, Kem Terendak, Tanjung Bidara, Teluk Belanga, Kuala Linggi, Meriam Patah, Tanjung Serai, Tanjung Dahan dan Pulau Upeh.
“Sebanyak 5,143 pendaratan penyu karah dicatatkan di negeri ini dari tahun 2009 hingga 2019. Pada musim bertelur antara April hingga September tahun ini, kami telah merekodkan lebih 800 pendaratan penyu karah,” katanya.
Siti Mastura memberitahu, pihaknya telah melantik beberapa penduduk kampung yang tinggal di sekitar pantai bagi mengutip telur-telur penyu karah, sebelum diserahkan kepada PKPP.
Jelasnya, telur berkenaan akan diletakkan dalam pasir di depan PKPP, sebelum dieram dan ditetaskan dalam tempoh antara 45 hingga 60 hari.

Tambahnya, anak penyu yang menetas akan terus dilepaskan ke habitatnya menjelang senja memandangkan reptilia laut berkenaan akan bergerak ke laut mengikut sinar matahari terbenam.
“Sebanyak 611,812 biji telur penyu dicatatkan di pantai negeri ini sejak 2009 hingga 2019 dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada tahun 2018 iaitu sebanyak 71,044 biji dan diikuti tahun 2022 (66,695 biji).
“Lazimnya, telur dieramkan dengan suhu bawah 29 darjah Celsius untuk menghasilkan penyu jantan, manakala bagi betina pula adalah 30 darjah Celsius dan ke atas.
“Daripada 1,000 anak penyu dilepaskan ke laut, hanya seekor berpeluang hidup. Selebihnya, mungkin mati disebabkan faktor-faktor semula jadi dan aktiviti manusia,” ujarnya lagi.
Anak penyu karah yang dilepaskan akan membesar sebelum bergerak menuju ke Kepulauan Riau, Indonesia memandangkan kawasan tersebut mempunyai banyak terumbu karang.
Menariknya, penyu tersebut akan kembali semula di pantai sekitar PKPP Padang Kemunting selepas tempoh matang untuk mengawan dan bertelur ekoran faktor medan magnet Bumi.
“Hasil kajian dilakukan, kami dapati anak penyu yang dilepaskan di sini akan bergerak ke Kepulauan Riau. Kemudian, ia akan kembali ke sini untuk bertelur apabila mencapai tempoh matang.
“Justeru, tidak hairanlah kami sentiasa menerima ibu penyu baharu pada setiap tahun. Ini kerana, setiap ibu penyu yang pernah mendarat di sini akan diletakkan tag. Jika tiada tag, kami anggap ia ibu penyu baharu.
“Alhamdulillah, jumlah pendaratan ibu penyu ke pantai negeri ini semakin meningkat pada setiap tahun. Ini membuktikan usaha dilakukan kami telah mula membuahkan hasil,” katanya.
Bercerita mengenai hidupan itu, Siti Mastura berkata, penyu karah memiliki paruh tajam yang berfungsi mengikis span laut pada terumbu karang.
Jelasnya, haiwan itu menjadikan span laut sebagai sumber makanan utama, selain obor-obor yang dikenali sebagai pemangsa kepada anak-anak ikan.
“Penyu ini sangat penting kepada ekosistem laut. Ia memakan span laut yang melekat pada terumbu karang. Kawasan terumbu karang ini diketahui menjadi habitat kepada ikan.
“Paling penting, penyu ini makan obor-obor yang menjadi musuh kepada anak ikan. Apabila obor-obor berkurangan, ia secara tidak langsung dapat memastikan sumber protein kita terus terpelihara,” katanya.














