fbpx

KKM cadang tawar kontrak lanjutan kepada doktor pakar bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan  (KKM) mencadangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar menawarkan kontrak selama lima tahun kepada doktor-doktor pakar telah bersara yang masih diperlukan perkhidmatan mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perbincangan telah diadakan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara tersebut semalam.

Beliau berkata, KKM mahu bekerjasama dengan KPT agar ilmu dan pengalaman luas doktor pakar bersara itu dapat dimanfaatkan kepada pegawai dan pelajar perubatan di institut pengajian tinggi (IPT) terpilih.

“Mereka diharap mencurahkan ilmu dan pengalaman mereka agar lebih ramai lagi doktor pakar dapat dilahirkan di negara ini.

“Kebiasaannya selepas bersara pada umur 60 tahun, sebahagian doktor-doktor pakar ini meneruskan khidmat di hospital kerajaan secara ‘sessional’ iaitu selama 10 jam bagi tempoh seminggu,” katanya di sini hari ini.

Noor Hisham menjelaskan beliau berpendapat lebih baik doktor-doktor pakar berkenaan ditawarkan lanjutan kontrak yang mampu menambah baik lagi perkhidmatan kepakaran kepada rakyat.

Oleh itu, beliau berharap agar cadangan KKM tersebut mendapat maklum balas baik seterusnya diluluskan JPA.

“Buat masa ini, kita memiliki lebih 6,000 doktor pakar di hospital-hospital seluruh negara dan dianggarkan 150 hingga 200 orang akan bersara pada setiap tahun.

“Selain itu, hanya 40 daripada 150 hospital di seluruh negara mempunyai doktor pakar dalam pelbagai bidang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI