fbpx

Jangan lupa anda boleh mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
EDDY HAMIDI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal tiba tidak lama lagi sudah pastinya ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi selepas negara berdepan kemelut politik yang berpanjangan.

Kemelut politik negara ketika ini boleh disifatkan sebagai terlalu membarah sehingga Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal selain pelbagai perubahan pada polisi negara juga sudah pastinya meresahkan rakyat dan menghilangkan keyakinan pelabur-pelabur luar untuk melebarkan sayap perniagaan mereka di negara ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah landskap politik negara akan berubah selepas ini terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini daftar pemilih baharu secara automatik yang menyaksikan pertambahan dalam bila­ngan pengundi muda?

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, perkara itu adalah tidak mustahil lebih-lebih lagi apabila pengundi muda atau belia berusia bawah 40 tahun kini menca­tatkan lebih separuh daripada jumlah pembuang undi iaitu kira-kira 51 peratus.

“Susulan peningkatan jumlah pengundi muda ini, tidak mustahil akan berlaku perubahan besar pada landskap politik negara, malah parti-parti politik sudah pasti akan menampilkan lebih banyak calon muda untuk bertanding bagi menarik undi.

“Hasil kajian saya mendapati, kebanyakan pengundi muda cenderung untuk mengundi calon dalam lingkungan usia mereka juga atau tidak terlalu ketara jurang usia kerana merasakan lebih memahami kehendak mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azizuddin, penguatkuasaan had umur pemilih kepada 18 tahun yang berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu juga dijangka memberikan impak kepada kancah politik negara, namun ia tidaklah terlalu ketara memandangkan jumlah­nya yang tidak terlalu besar.

“Pengundi berusia 18 tahun ini hanya kira-kira 10 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah pengundi iaitu dianggarkan 1.8 juta individu, jadi mereka ini akan tetap memberikan impak, namun agak minimal.

“Yang dibimbangkan adalah jika mereka tidak keluar me­ngundi. Mungkin tidak mengundi kerana tidak pernah mengundi atau tidak tahu yang mereka kini boleh mengundi atau juga faktor-faktor lain seperti tidak minat, latar belakang keluarga dan lain-lain,” ujar beliau.

Berdasarkan rekod Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu, seramai 173,177 anak muda layak mengundi di 56 DUN, namun tiada gambaran jelas sebarang kesan ketara terhadap hasil pengundian golongan tersebut di negeri itu.

Mohd. Azizuddin berkata, dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta pengundi baharu yang telah didaftarkan secara automatik sehingga kini, tetapi daripada jumlah tersebut kurang daripada 30 peratus dijangkakan keluar mengundi pada PRU-15 kelak.

“Tidak mustahil juga hanya 10 peratus yang akan keluar me­ngundi kelak dan ini akan menjadi satu kerugian kepada negara.

“Jika mereka memang tidak mahu mengundi, tidak mengapalah kerana itu hak mereka, namun lebih rugi jika mereka tidak tahu yang mereka sudah jadi pengundi berdaftar,” katanya.

Melihat kepada kebimba­ngan ini, adalah penting untuk pihak-pihak seperti SPR de­ngan sokongan pengamal media terutamanya mengorak langkah memberikan penerangan kepada individu-individu yang tidak menyedari bahawa mereka kini sudah boleh mengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI