fbpx

PRU-15: Selangor kekal tidak bubar DUN tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga hujung tahun ini bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari selepas lebih dua jam menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, pihaknya masih kekal dengan keputusan itu selepas menyembah maklum nasihat baginda supaya menyelesaikan terlebih dulu urusan kepada rakyat negeri ini.

“Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN.

“Ia antaranya berkaitan soal pembangunan, banjir, bajet dan Rancangan Selangor Pertama. Maka dengan itu, PH Selangor kekal dengan keputusan tidak membubarkan DUN pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan istana itu.

Kenderaan rasmi membawa Amirudin meninggalkan Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor selepas beliau menghadap Sultan Selangor hari ini.

Terdahulu, beliau tiba dengan menaiki kenderaan rasmi pukul 10.05 pagi sebelum keluar pukul 12.45 tengah hari tadi.

Jelas Amirudin, Sultan Sharafuddin turut meminta beliau mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi memastikan pilihan raya di Selangor berlangsung dengan lebih efisien.

Beliau yang juga Pengerusi PKR negeri, pihaknya kini memfokuskan kepada pembentangan Bajet Selangor 2023.

“Namun, ia bergantung kepada tarikh PRU yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.

“Kita mungkin akan menundakan pembentangan bajet itu selepas selesai pilihan raya kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kebanyakan calon PH di negeri ini melibatkan penyandang kerusi kecuali Ampang dan Gombak.

“Mereka lebih berpengalaman dan mempunyai kelebihan di kawasan masing-masing.

“Namun, kita juga akan menampilkan calon muda atau muka baharu untuk menambah variasi atau kekuatan dalam PH dan PKR,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI